
KUALA LUMPUR, 25 November – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memperkukuh keupayaan bekalan gas asli cecair (LNG) global menerusi pembangunan kemudahan LNG terapung ketiganya, PFLNG Tiga.
- PFLNG Tiga ialah kemudahan LNG terapung pertama dunia yang beroperasi berhampiran pantai, memperluas keupayaan PETRONAS membangunkan sumber gas.
- Kemudahan ini bakal meningkatkan fleksibiliti dan daya tahan portfolio bekalan LNG PETRONAS serta memperkukuh rantaian nilai LNG Malaysia.
- PFLNG Tiga dijadual ditempatkan di Sipitang, Sabah, dan dijangka memulakan operasi pada suku ketiga 2027.
Kemudahan itu, yang merupakan LNG terapung pertama dunia beroperasi berhampiran pantai, menandakan satu lagi pencapaian dalam inovasi industri LNG global, sekali gus memperkukuh keupayaan PETRONAS membangunkan sumber gas dalam pelbagai keadaan operasi.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim PETRONAS, Datuk Adif Zulkifli berkata, kemudahan itu bakal meningkatkan fleksibiliti serta daya tahan portfolio bekalan LNG syarikat, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal LNG global yang dipercayai.
”Petronas telah berkembang daripada pengeluaran LNG di perairan cetek melalui PFLNG Satu pada 2016 kepada operasi di perairan dalam menerusi PFLNG Dua, sebelum melangkah ke pengeluaran di kawasan pinggir pantai dengan PFLNG Tiga.
”PFLNG TIGA turut memperkukuh rantaian nilai LNG Malaysia serta keupayaan negara memanfaatkan sumber gas bagi memenuhi permintaan tenaga serantau,” jelas beliau dalam satu kenyataan.
Kemudahan terbaharu itu juga mencerminkan komitmen PETRONAS untuk menyediakan bekalan LNG yang stabil, fleksibel dan berdaya saing ketika permintaan terhadap bekalan tenaga yang terjamin terus meningkat.
PFLNG Tiga yang masih dalam pembinaan dijadual ditempatkan di Sipitang, Sabah dan dijangka memulakan operasi pada suku ketiga 2027.
Kemudahan itu direka dengan kapasiti pengeluaran dua juta tan setahun (mtpa), berukuran 281 meter panjang, 64 meter lebar dan 32 meter dalam.