RM400 juta perkasa warisan, kawasan hijau dan kemudahan rakyat di Kuala Lumpur

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 9 Oktober– Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan peruntukan RM400 juta bagi mewujudkan 120 ekar kawasan hijau baharu, memulihara taman sedia ada serta menaik taraf kemudahan dan perumahan rakyat di ibu negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemuliharaan warisan bandar termasuk pemulihan bangunan bersejarah dan pengecualian duti hiburan bagi aktiviti kebudayaan di stadium bersejarah.
  • Pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer menghubungkan mercu tanda dan kawasan kediaman demi keselesaan dan akses yang lebih baik.
  • Peningkatan kemudahan awam termasuk perkhidmatan buggy dan pusat harian warga emas untuk meningkatkan aksesibiliti dan keselesaan penduduk serta pelawat.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang bukan sahaja membangun dengan pencakar langit, tetapi turut menitikberatkan kesejahteraan penduduk, pemeliharaan warisan dan pembangunan ruang budaya.

“Kuala Lumpur tidak hidup pada gahnya pencakar langit. Jiwa ibu kota terletak pada gerai dan warung yang selesa dan selamat, kediaman rakyat yang manusiawi serta warisan kota yang bernyawa sebagai pentas budaya yang menarik pengunjung,” menurut kenyataan itu.

Dalam usaha memulihara warisan sejarah negara, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dipuji atas kejayaan inisiatif Warisan KL yang memulihara Bangunan Sultan Abdul Samad dan kawasan warisan sekitarnya, sekali gus menarik kira-kira 500,000 pengunjung tempatan dan asing.

Tumpuan seterusnya akan diberikan kepada pemuliharaan Menara Dayabumi, Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Penghargaan juga kepada PNB yang memulihara Stadium Merdeka, dan seterusnya Stadium Negara,” ujarnya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi menggalakkan penganjuran aktiviti serta menghidupkan semula warisan negara, kerajaan turut bersetuju mengecualikan duti hiburan bagi aktiviti kesenian, kebudayaan, hiburan dan sukan yang diadakan di Stadium Merdeka serta Stadium Negara.

Langkah itu dijangka membantu memperluas penggunaan kedua-dua venue bersejarah berkenaan sebagai ruang penganjuran acara, di samping menyokong aktiviti kebudayaan dan sukan.

Usaha berkenaan mencerminkan pendekatan pembangunan Kuala Lumpur yang mengimbangi pemeliharaan warisan, penyediaan kawasan hijau dan peningkatan kemudahan awam demi kesejahteraan penduduk serta daya tarikan ibu kota sebagai destinasi pelancongan.

Dalam pada itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membina laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer bagi menghubungkan mercu tanda utama ibu negara, termasuk Masjid Negara, Dataran Merdeka dan Pasar Seni.

Kemudahan itu turut diperluas bagi menghubungkan kawasan kediaman rakyat dengan premis perniagaan, sekolah, klinik serta stesen pengangkutan awam, sekali gus meningkatkan keselesaan dan kemudahan pergerakan pejalan kaki.

“DBKL akan membina laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer yang menghubungkan mercu tanda seperti Masjid Negara, Dataran Merdeka dan Pasar Seni.

“Laluan berbumbung turut dibina dari kediaman rakyat ke premis perniagaan, sekolah, klinik dan stesen pengangkutan awam,” menurut beliau.

Selain itu, perkhidmatan kenderaan buggy akan disediakan bagi memudahkan pergerakan pengunjung, khususnya warga emas, ke lokasi tumpuan pelancongan seperti Tugu Negara, Taman Botani dan Carcosa Seri Negara.

Dalam usaha memperkukuh kemudahan untuk golongan berusia, dua bangunan milik DBKL di Pusat Transformasi Gelandangan Anjung Kelana, Taman Desa dan Pasar Sementara Cheras akan dinaik taraf menjadi pusat harian warga emas.

Inisiatif berkenaan bertujuan menyediakan kemudahan yang lebih sesuai untuk warga emas, di samping meningkatkan aksesibiliti dan keselesaan penduduk serta pengunjung di ibu negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.