“Ada soalan?” Mengapa dewan kuliah masih sunyi

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Pensyarah perlu cipta ruang selamat; respons yang sopan galakkan pelajar bertanya dan jadikan ketidaktahuan sebahagian pembelajaran.
  • Kemahiran merumus soalan tepat penting di era AI dan RPTM untuk menilai jawapan serta mengembangkan penyelidikan dan kreativiti.
  • Bertanya menunjukkan metakognisi; fokus pada mutu soalan membantu pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan pembelajaran kendiri.

Pensyarah baru selesai menerangkan satu topik yang agak kompleks. Beberapa slaid sudah berlalu, istilah baharu diperkenalkan dan contoh diberikan. Sebelum menutup sesi, pensyarah bertanya seperti biasa, “Ada soalan?” Dewan kuliah senyap.

Ada pelajar yang sebenarnya masih keliru. Ada yang mahu mengangkat tangan, tetapi bimbang soalannya terlalu mudah. Ada juga yang takut rakan sekelas menganggap dia tidak memberi perhatian.

Akhirnya, tiada siapa bertanya. Pensyarah pula mungkin menyangka semuanya sudah faham. Situasi ini bukan asing di universiti.

Sebuah kajian mengenai seni bertanya soalan dalam pendidikan bermula dengan satu pertanyaan daripada pelajar: “May I ask a stupid question?”

Persoalan itu membawa pengkaji melihat dengan lebih serius mengapa pelajar takut bertanya dan bagaimana budaya bertanya boleh mempengaruhi pemikiran kritis, kreativiti serta keupayaan belajar secara kendiri.

Walaupun sebahagian kajian tersebut melibatkan pelajar sekolah, perbandingannya dengan pelajar universiti memberikan satu dapatan yang menarik.

Dalam tugasan pengaturcaraan yang hampir serupa, sebahagian besar pelajar universiti cenderung mengikut contoh yang diberikan dalam kuliah, manakala pelajar sekolah lebih banyak meneroka kandungan baharu melalui penyelidikan sendiri.

Ketika penilaian rakan sebaya pula, pelajar universiti dilaporkan lebih berhati-hati untuk bertanya kerana bimbang kelemahan rakan atau diri sendiri diketahui pensyarah.

Dapatan itu bukan bertujuan membandingkan keupayaan pelajar sekolah dengan mahasiswa. Sebaliknya, ia membuka persoalan yang lebih besar: adakah sistem pembelajaran kita benar-benar melatih pelajar untuk bertanya, atau sekadar melatih mereka mencari jawapan yang betul?

Di universiti, kita sering bercakap tentang pemikiran kritis, penyelesaian masalah dan kreativiti. Namun, ketiga-tiganya sukar berkembang tanpa soalan.

Soalan “mengapa?” memaksa seseorang mencari sebab. Soalan “bagaimana jika?” menguji andaian. Soalan “apa akan berlaku jika keadaan berubah?” pula membawa seseorang keluar daripada contoh yang sudah diberikan.

Dalam kajian berkenaan, soalan seperti what if, why does it happen dan how to pada tahap yang lebih maju dikaitkan dengan penerokaan pengetahuan serta keberanian menggunakan konsep dalam keadaan baharu.

Di sinilah konteks pendidikan tinggi Malaysia menjadi semakin menarik.

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 mahu melahirkan pembelajar yang adaptif, berpaksikan kemanusiaan dan mempunyai kemahiran masa hadapan.

Dokumen itu turut menekankan kemahiran penyelidikan, penyelesaian masalah, pemikiran sistem serta keupayaan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu.

Semua aspirasi itu akhirnya memerlukan satu kebolehan asas yang mungkin kelihatan sederhana; keupayaan membina soalan yang baik. Hal ini menjadi lebih penting dalam era AI.

Hari ini, mahasiswa boleh menaip satu soalan dan menerima jawapan dalam beberapa saat. AI boleh meringkaskan artikel, menghasilkan cadangan, menerangkan konsep malah membantu menyelesaikan masalah teknikal.

Oleh itu, kelebihan pelajar pada masa hadapan tidak lagi terletak semata-mata pada keupayaan mendapatkan jawapan.

Yang semakin penting ialah kebolehan menentukan soalan apa yang patut ditanya, jawapan mana yang boleh dipercayai, apakah andaian di sebaliknya dan apakah soalan susulan yang perlu dikemukakan.

Jika soalan pelajar cetek, jawapan AI mungkin kelihatan meyakinkan tetapi tidak membawa pembelajaran jauh. Sebaliknya, pelajar yang mampu membina pertanyaan yang lebih tajam berpeluang menggunakan teknologi sebagai alat untuk memperluas pemikiran, bukannya menggantikannya.

Namun, budaya bertanya tidak lahir dengan arahan mudah, “Kalau tak faham, tanya.” Pensyarah juga perlu membina ruang yang menjadikan ketidaktahuan sementara sebagai sebahagian daripada pembelajaran.

Apabila seorang pelajar mengemukakan soalan yang asas, respons pertama pensyarah sangat penting. Jika pertanyaan itu disambut dengan sindiran atau nada merendahkan, mungkin bukan seorang sahaja yang akan berhenti bertanya. Seluruh kelas belajar bahawa diam lebih selamat.

Sebaliknya, pensyarah boleh memulangkan soalan kepada kelas: “Ada sesiapa boleh melihatnya dari sudut lain?” atau “Apa akan berubah jika situasinya berbeza?” Dalam keadaan itu, soalan seorang pelajar menjadi bahan pembelajaran untuk semua.

Kita juga perlu berhenti melihat kelas yang senyap sebagai kelas yang semestinya berjaya. Kadangkala kelas yang baik sedikit bising dengan persoalan, hujah dan ketidaksetujuan yang beradab.

Mahasiswa pula perlu memahami bahawa bertanya bukan bukti kelemahan. Seseorang yang berani mengatakan “Saya belum faham” sebenarnya telah mengenal pasti batas pengetahuannya sendiri. Dalam pembelajaran, kesedaran itu sangat berharga.

Konsep ini dekat dengan metakognisi, iaitu keupayaan menyedari apa yang kita tahu dan apa yang belum kita kuasai. Tanpa kesedaran tersebut, seseorang boleh membaca banyak bahan tetapi masih tidak menyedari jurang kefahamannya.

RPTM 2026–2035 menggariskan hasrat membentuk pembelajar yang mampu menangani masalah dunia sebenar dan bersedia menghadapi perubahan teknologi.

Jika aspirasi itu mahu diterjemahkan dalam dewan kuliah, mungkin kita perlu memberi lebih perhatian bukan sahaja kepada jawapan mahasiswa, tetapi juga kepada mutu soalan yang mereka berani kemukakan.

Universiti seharusnya menjadi tempat seseorang boleh berkata, “Saya belum faham,” tanpa berasa dirinya kurang bijak, kerana tujuan pendidikan tinggi bukan untuk membuktikan bahawa mahasiswa sudah mempunyai semua jawapan.

Ia sepatutnya membantu mereka belajar bagaimana mencari, menilai dan mencabar jawapan dan kadangkala, perjalanan itu bermula dengan satu keberanian yang sangat sederhana.

Mengangkat tangan dan bertanya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.