Warisan bersejarah sebagai pemangkin kegembiraan

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Warisan sejarah menguatkan identiti dan rasa keterikatan, mengurangkan keterasingan serta menanam rasa bangga dalam komuniti.
  • Seni bina kawasan bersejarah menawarkan keindahan dan skala manusia yang menenangkan, mengurangkan tekanan dan menyumbang kesejahteraan emosi.
  • Kawasan warisan berfungsi sebagai titik pertemuan sosial, memupuk hubungan mesra antara kaum serta memperkasa peradaban dan kualiti hidup setempat.

Pernahkah anda terfikir tentang faktor-faktor yang dapat meningkatkan tahap kegembiraan seseorang di sesuatu tempat? Menariknya, tempat tinggal yang berdekatan dengan kawasan bersejarah merupakan salah satu faktor penyumbang kepada kegembiraan.

Perkara ini dibuktikan berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh penubuhan Warisan Inggeris di United Kingdom.

Hubungan antara warisan sejarah dan kesejahteraan emosi manusia bukanlah sekadar andaian teori, sebaliknya ia merupakan fenomena psikologi dan sosial yang nyata.

Kita dapat lihat bahawa aplikasi kehidupan seharian kini lebih cenderung berpaksikan arus kemodenan dan pencapaian ekonomi diri dan setempat.

Keadaan ini secara tidak langsung dapat menyebabkan masyarakat moden di bandar kini hilang identiti, jati diri dan peradaban.

Kewujudan kawasan bersejarah berpotensi untuk bertindak sebagai satu perhentian bagi menenangkan emosi individu yang mungkin terganggu akibat daripada tekanan dan kesibukan dalam kehidupan sehari-hari.

Warisan dan Identiti

Pernahkah anda tertanya-tanya tentang tinggalan bersejarah yang paling hamper dari rumah anda? Apakah mata dan minda anda tertumpu kepada stuktur-stuktur bangunan-bangunan bersejarah apabila anda berjalan-jalan di tengah kota?

Dalam era dunia yang bergerak terlalu pantas ini, tidak menghairan sekiranya masyarakat tidak menyedari kewujudan tempat-tempat bersejarah di sekeliling mereka.

Masyarakat mungkin lebih cenderung bergerak laju dan memberikan perhatian kepada komitmen-komitmen yang perlu diselesaikan.

Bukti saintifik melaporkan bahawa pendedahan harian kepada struktur bersejarah mampu membentuk identiti yang kukuh dalam diri seseorang.

Bangunan bangunan lama, monumen, dan perkampungan warisan dapat membentuk kesinambungan individu and sejarah.

Paparan tempat bersejarah dapat mengingatkan kita tentang asal usul dan sejarah budaya yang melangkaui individu.

Perasaan keterikatan (sense of belonging) ini dapat menjamin kesejahteraan emosi dan mengurangkan rasa terasing, sekali gus menanam rasa bangga dalam jiwa seseorang.

Seni Bina yang Menenangkan Jiwa

Selain pengukuhan identiti diri, kawasan-kawasan bersejarah umumnya direka bentuk dengan seni bina yang berorientasikan nilai estetik dengan skala manusia yang mesra pejalan kaki.

Keindahan seni bina lama yang sarat dengan seni-seni halus serta motif berunsurkan alam semulajadi, boleh memberikan ketenangan minda, mengurangkan paras hormon tekanan, dan mewujudkan suasana persekitaran yang menenteramkan emosi.

Tambahan lagi, kawasan bersejarah ini dapat menjadi tempat di mana interaksi sosial boleh berlaku secara semula jadi. Keadaan ini diharapkan dapat membentuk hubungan mesra yang berupaya menyuburkan ikatan kemasyarakatan.

Terdapat banyak bukti-bukti saintifik yang melaporkan keupayaan kawasan warisan sebagai titik kemasyarakatan di mana elemen-elemen warisan seperti medan pasar, dataran, ruang keagaamaan membina peradaban masyarakat setempat.

Kita dapat melihat, keutuhan bandar bersejarah Melaka dan George Town sebagai contoh-contoh kawasan yang mengekalkan banggunan-banggunan bersejarah di dalam kota yang moden.

Jika kita menyusuri lorong-lorong di dalam kawasan ini, kita dapat merasai keintiman masyarakat berbilang kaum yang sememangnya tidak kekok berurusan antara satu sama lain, hampir kesetiap hari.

Kewujudan struktur-struktur bersejarah ini menjadi latar belakang peradaban masyarakat yang harmoni, justeru dapat memberikan impak positif kepada masyarakat setempat dan pengunjung.

Kesimpulan

Kita dapat simpulkan bahawa, pemeliharaan warisan seharusnya menjangkau pemuliharaan fizikal atau tarikan pelancongan. Malahan, penjagaan warisan merupakan satu pelaburan jangka panjang terhadap kesejahteraan jiwa dan emosi masyarakat.

Kawasan bersejarah bukan sahaja dapat memperkaya dan memperkasakan pengetahuan individu, malah dapat menyumbang kepada kualiti hidup dan kebahagiaan insan secara menyeluruh.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Nur Rasyiqah Abu Hassan
Pensyarah Kanan
Fakulti Alam Bina & Ukur
Universiti Teknologi Malaysia

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.