
SAUDARA PENGARANG
- Universiti mesti melahirkan graduan yang bukan sekadar employable tetapi mampu bertahan dan menyesuaikan diri apabila kerja dan industri berubah.
- Utamakan ilmu, adab, pemikiran kritikal dan etika supaya graduan menilai maklumat dan menggunakan teknologi dengan bijak.
- Galakkan pengalaman sebenar, kesilapan yang berharga dan keteguhan hati supaya mahasiswa belajar menghadapi akibat dan membina ketahanan yang sihat.
Jika kita masih memanggil mahasiswa universiti hari ini sebagai generasi Millennial, barangkali kita sendiri sudah terlewat membaca sebuah generasi.
Pew Research Center menggunakan 1981 hingga 1996 sebagai lingkungan kelahiran Millennial, manakala mereka yang lahir selepas tempoh tersebut memasuki kelompok generasi berikutnya yang kemudian dikenali sebagai generasi Z.
Hal ini bermakna sebahagian besar mahasiswa yang memenuhi kampus pada tahun 2026 bukan lagi Millennial. Mereka ialah generasi Z.
Namun, kesilapan pada label generasi bukan masalah terbesar. Perkara yang lebih membimbangkan ialah kemungkinan kita masih mendidik mahasiswa hari ini menggunakan ukuran kejayaan yang dibina untuk dunia semalam.
Kita mahu mereka mendapat keputusan akademik yang baik, menamatkan pengajian mengikut tempoh, memiliki sijil tambahan, menguasai teknologi, menyediakan resume yang menarik dan akhirnya mendapat pekerjaan.
Semua itu penting. Namun, dalam dunia yang kerjayanya semakin dipengaruhi kecerdasan buatan, automasi, perubahan ekonomi dan ketidakpastian global, mendapat pekerjaan tidak lagi boleh menjadi ukuran terakhir kejayaan pendidikan tinggi.
Universiti tidak boleh sekadar menghasilkan graduan yang boleh memenuhi ruang pekerjaan (employable) tetapi harus mampu menghasilkan manusia yang boleh bertahan (survivable).
Perbezaannya amat besar. Graduan yang employable tahu memenuhi kehendak sesuatu jawatan.
Manakala manusia yang survivable tahu apa yang perlu dilakukan apabila jawatan itu berubah, industrinya terganggu, kemahirannya menjadi lapuk, keputusan yang dibuat tidak menjadi atau kehidupan tidak bergerak seperti yang dirancang.
Inilah persoalan yang sepatutnya lebih banyak kita bincangkan apabila berbicara tentang mahasiswa. Bukan sama ada generasi hari ini terlalu manja, terlalu sensitif atau tidak setahan generasi terdahulu. Menyalahkan generasi merupakan diagnosis yang terlalu mudah.
Soalan yang lebih jujur ialah sama ada sistem pendidikan, keluarga dan masyarakat telah memberikan mereka cukup ruang untuk membina ilmu, adab, pengalaman dan keteguhan hati sebelum meminta mereka memimpin dunia yang semakin rumit.
Malaysia sebenarnya mempunyai alasan untuk berbangga dengan prestasi graduannya. Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026 hingga 2035 merekodkan kadar pekerjaan graduan sebanyak 92.5 peratus.
Namun dokumen yang sama turut mengakui bahawa underemployment kekal sebagai cabaran penting dalam pasaran buruh.
Kementerian Pendidikan Tinggi mencatatkan pertumbuhan tenaga kerja berpendidikan tertier jauh lebih pantas berbanding pertambahan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh yang diperhatikan.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia menjadikan persoalan itu lebih menarik. Statistik Siswazah 2024 menunjukkan kadar pengangguran siswazah turun kepada 3.2 peratus, satu perkembangan yang sememangnya positif.
Namun pada masa yang sama, sekitar 1.60 juta siswazah yang bekerja berada dalam kategori guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran. Kadarnya ialah 32.2 peratus daripada siswazah bekerja.
Dengan kata lain, persoalan kita bukan lagi sekadar sama ada graduan mempunyai pekerjaan. Kita juga perlu bertanya sama ada pengetahuan, bakat dan kemampuan mereka benar-benar digunakan pada tahap yang sepatutnya.
Di sinilah, dapat dilihat kelemahan besar dalam perbincangan tentang generasi muda. Apabila pasaran berubah, kita cepat meminta mahasiswa melakukan upskilling.
Apabila pekerjaan tidak sepadan, kita meminta mereka lebih fleksibel. Apabila tekanan meningkat, kita meminta mereka menjadi resilien. Apabila teknologi berubah, kita meminta mereka belajar semula.
Semua tuntutan itu munasabah. Namun, kita perlu berhati-hati supaya setiap kelemahan struktur tidak akhirnya diletakkan sepenuhnya di bahu individu.
Tidak adil jika sistem melahirkan graduan berdasarkan satu bentuk penilaian selama bertahun-tahun, kemudian apabila mereka memasuki dunia pekerjaan, kita mengatakan mereka sendiri perlu menanggung akibat apabila dunia memerlukan sesuatu yang berbeza.
Sebab itu menambah ilmu perlu menjadi agenda pertama mahasiswa, tetapi makna ilmu sendiri perlu diperluaskan.
Pada zaman sebelum ledakan digital, orang berilmu mempunyai kelebihan kerana mempunyai akses kepada maklumat. Pada zaman kecerdasan buatan generatif, hampir semua orang mempunyai akses kepada maklumat.
Mahasiswa boleh meminta mesin menerangkan teori, meringkaskan jurnal, mencadangkan strategi, menyediakan slaid malah menghasilkan esei dalam beberapa saat.
Maka kelebihan manusia tidak lagi terletak semata-mata pada kemampuan mendapatkan jawapan. Tetapi kelebihan sebenar terletak pada kemampuan menilai sama ada sesuatu jawapan patut dipercayai.
World Economic Forum dalam Future of Jobs Report 2025 menganggarkan sekitar 39 peratus set kemahiran pekerja akan berubah atau menjadi lapuk antara 2025 hingga 2030.
Menariknya, antara kemahiran yang dianggap penting bukan sahaja AI dan big data, tetapi juga analytical thinking, creative thinking, resilien, fleksibiliti, rasa ingin tahu, pembelajaran sepanjang hayat serta kepimpinan.
Mesejnya jelas. Teknologi yang semakin canggih tidak menyebabkan manusia kurang penting. Sebaliknya, teknologi semakin canggih menyebabkan kualiti manusia menjadi lebih penting.
Mahasiswa masa depan perlu mengetahui bukan sahaja bagaimana menggunakan AI tetapi bila tidak patut mempercayainya.
Mereka perlu mengetahui bukan sahaja bagaimana mendapatkan maklumat tetapi bagaimana mempertikaikan maklumat. Mereka perlu mampu membezakan fakta daripada keyakinan palsu, kepantasan daripada ketepatan serta populariti daripada kebenaran.
UNESCO sendiri melalui AI Competency Framework for Students tidak menghadkan kompetensi AI kepada kemahiran teknikal. Kerangka tersebut turut meletakkan human-centred mindset, etika, pemikiran kritikal dan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kompetensi yang perlu dibangunkan.
Di sinilah adab menjadi semakin penting. Malangnya, adab sering diterjemahkan secara terlalu sempit.
Kita menganggap mahasiswa beradab apabila mereka bercakap lembut, tidak membantah pensyarah dan pandai mengucapkan terima kasih. Itu hanya sebahagian kecil daripada adab.
Adab intelektual jauh lebih mencabar. Adab bermaksud mampu mempunyai ilmu tanpa merasakan diri sentiasa paling tahu.
Ia menjadi manusia mampu berbeza pandangan tanpa memperkecilkan manusia lainnya dan mampu mempunyai kebebasan bersuara tanpa menganggap semua yang terlintas dalam fikiran wajib disebut.
Ia juga mampu memegang kuasa tanpa merendahkan orang lain; mampu mengkritik institusi tanpa kehilangan kewarasan bahasa dan mampu menerima kritikan tanpa menjadikan setiap teguran sebagai serangan terhadap harga diri.
Adab bukan kelemahan, bahkan ia ialah sistem kawalan kepada kuasa. Semakin pintar seseorang, semakin banyak pengikutnya. Semakin tinggi jawatannya dan semakin besar teknologi yang berada di tangannya, semakin penting adab menjadi benteng.
Kita patut lebih bimbang terhadap manusia pintar tanpa adab berbanding manusia sederhana yang masih mahu belajar. Orang yang tidak tahu boleh diajar. Orang yang merasakan dirinya tahu segala-galanya jauh lebih sukar dibentuk.
Namun ilmu dan adab sahaja belum cukup. Mahasiswa perlu mengumpulkan pengalaman sebelum dunia sebenar memaksa mereka mendapatkannya dengan harga yang lebih mahal.
Di sinilah universiti perlu berani mempertimbangkan satu perkara. Tidak semua pendidikan terbaik berlaku di dalam bilik kuliah.
Mahasiswa yang mengurus program dan berhadapan dengan bajet yang tidak mencukupi sedang belajar. Mahasiswa yang gagal mendapatkan penajaan sedang belajar. Mahasiswa yang mengurus ahli kumpulan yang tidak memberi kerjasama sedang belajar.
Mahasiswa yang menjadi sukarelawan di lapangan, menjalankan perniagaan kecil, berdepan pelanggan, menghasilkan projek sebenar, membuat kesilapan, menerima teguran atau terpaksa menyelesaikan konflik manusia sedang belajar.
Bezanya, pembelajaran tersebut mempunyai akibat. AI boleh mensimulasikan rundingan tetapi AI tidak menanggung malu selepas rundingan gagal. Buku boleh menerangkan konsep kepimpinan tetapi buku tidak perlu memujuk lima manusia dengan lima karakter berbeza untuk menyelesaikan satu tugasan.
Mesin boleh menulis ucapan tentang keberanian tetapi mesin tidak perlu berdiri di belakang pentas dengan tangan menggigil sebelum namanya dipanggil. Pengalaman memberikan berat kepada ilmu kerana pengalaman memperkenalkan manusia kepada akibat.
Sebab itulah mahasiswa tidak sepatutnya menghabiskan keseluruhan kehidupan universiti dengan satu matlamat, jangan buat silap.
Kadangkala manusia perlu membuat kesilapan kecil ketika masih mempunyai ruang untuk belajar supaya tidak melakukan kesilapan besar apabila memegang tanggungjawab sebenar. Kemudian datang satu perkara yang lebih sukar, keteguhan hati.
Kita sering menggunakan perkataan resilien seolah-olah maksudnya seseorang perlu tahan segala-galanya; kena marah, tahan; penat, teruskan; kecewa, jangan tunjuk; tertekan, kuatkan diri.
Semua situasi itu tidak semestinya membuktikan kita telah menjadi manusia yang resilien. Kadangkala itu cuma penderitaan yang belum mempunyai nama. Ketahanan sebenar bukan kemampuan menerima semua tekanan.
Ketahanan ialah kemampuan mengetahui tekanan mana yang perlu dihadapi, masalah mana yang perlu diselesaikan, bantuan bila perlu dicari dan keadaan mana yang perlu ditinggalkan.
Manusia yang berdaya tahan bukan bererti mereka tidak pernah menangis. Sebaliknya mereka ialah orang yang tidak menyerahkan keseluruhan identiti dirinya kepada satu kegagalan.
Gagal peperiksaan ialah peristiwa. Tidak terpilih untuk sesuatu jawatan ialah peristiwa. Perniagaan tidak menjadi ialah peristiwa. Idea ditolak ialah peristiwa. Hubungan berakhir ialah peristiwa.
Namun apabila seseorang menukar ayat “saya gagal dalam perkara ini” kepada “saya seorang manusia yang gagal”, sebuah peristiwa telah berubah menjadi identiti.
Universiti patut membantu mahasiswa memahami perbezaan tersebut. Lebih-lebih lagi kerana generasi yang berada di kampus hari ini bakal menjadi pensyarah, guru, majikan, ibu bapa, pemimpin organisasi, pembuat dasar, pencipta teknologi dan pembentuk pemikiran kepada Generasi Alpha serta generasi selepasnya.
Mereka tidak boleh memimpin generasi baharu hanya dengan berkata, “Dulu kami pun susah.”
Setiap generasi mempunyai kesusahannya sendiri. Generasi terdahulu mungkin berhadapan kekurangan akses kepada maklumat. Generasi baharu berhadapan terlalu banyak maklumat.
Generasi terdahulu perlu mencari pengetahuan. Generasi baharu perlu menentukan pengetahuan mana yang benar. Generasi terdahulu mungkin takut tidak mempunyai suara. Generasi hari ini pula perlu belajar apa yang patut dilakukan apabila semua orang mempunyai mikrofon.
Cabaran berubah. Maka, bentuk ketahanan juga perlu berubah.
Generasi Alpha tidak akan mudah menerima autoriti hanya kerana seseorang lebih tua, lebih senior atau mempunyai jawatan lebih tinggi.
Dalam dunia yang membolehkan mereka mendapatkan penjelasan, alternatif dan pandangan lain dalam beberapa saat, kredibiliti tidak lagi boleh diwarisi melalui hierarki. Kredibiliti perlu dibina melalui kompetensi, integriti, konsistensi dan kebijaksanaan.
Sebab itu mahasiswa hari ini perlu bersedia bukan sahaja untuk mencari pekerjaan selepas graduasi. Mereka perlu bersedia menjadi generasi jambatan.
Generasi yang cukup dekat dengan dunia sebelum AI untuk memahami nilai pengalaman manusia, tetapi cukup dekat dengan dunia selepas AI untuk memimpin perubahan teknologi.
Generasi yang tidak menolak teknologi kerana takut, tetapi tidak menyembah teknologi kerana kagum.
Generasi yang mempunyai ilmu tetapi sedar bahawa pengetahuan sentiasa boleh berubah. Generasi yang mempunyai suara tetapi tahu bahawa tidak semua perkara perlu dijawab.
Generasi yang mempunyai kebebasan tetapi masih mempunyai batas. Generasi yang pernah gagal tetapi tidak menjadi tawanan kepada kegagalan.
Sebab itu, adalah tidak wajar apabila mahasiswa hari ini hanya disuruh menjadi lebih “marketable”.
Manusia bukan produk yang tugas akhirnya sekadar memenuhi kehendak pasaran. Pendidikan tinggi mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada menghasilkan pekerja.
Kita sedang menghasilkan manusia yang suatu hari nanti akan memegang kuasa terhadap manusia lain. Maka, tambahkan ilmu supaya mereka tidak mudah diperbodohkan. Kukuhkan adab supaya apabila berilmu mereka tidak menjadi angkuh.
Tingkatkan pengalaman supaya mereka memahami bahawa dunia sebenar tidak mempunyai skema jawapan.
Teguhkan hati supaya apabila kehidupan tidak mengikut rancangan, mereka tidak kehilangan diri. Kemudian barulah kita bercakap tentang memimpin Generasi Alpha dan generasi yang datang selepasnya.
Ia kerana, masa depan mungkin tidak akan dimenangi oleh generasi yang mempunyai sijil paling banyak, teknologi paling canggih atau suara paling lantang.
Masa depan akan lebih selamat di tangan generasi yang masih mampu berfikir ketika orang lain panik, masih mampu belajar ketika pengetahuan lama tidak lagi mencukupi.
Juga masih mempunyai adab ketika memiliki kuasa, dan masih mempunyai prinsip ketika perubahan menawarkan seribu alasan untuk menggadaikannya.
Itulah generasi survival. Bukan generasi yang sekadar pandai bertahan hidup. Tetapi generasi yang apabila dunia berubah, mereka mampu berubah tanpa kehilangan siapa diri mereka.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Nurul Nisha Mohd Shah
Pensyarah
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Cawangan Negeri Sembilan
E-mel: nurulnisha@uitm.edu.my