ACC: JDT tidak pandang mudah cabaran PKR Svay Rieng

Foto Fail BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 7 Oktober – Johor Darul Ta’zim (JDT) enggan memandang mudah cabaran kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC, apabila kedua-dua pasukan membuka kempen Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2026/2027 di Stadium Sultan Ibrahim di sini, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Segera mendapatkan semula rentak permainan dan mengekalkan disiplin taktikal tinggi ketika menyerang serta bertahan.
  • Manfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk memburu keputusan positif.
  • Kedua-dua pasukan diperkuat muka baharu; Svay Rieng berbahaya di bahagian tengah dan jentera serangan pantas.
  • Kemungkinan penggiliran pemain ditimbang selepas penilaian terhadap pemain pulang daripada tugasan kebangsaan.

Ketua Jurulatih JDT Xisco Munoz berkata, selepas melalui tempoh rehat panjang berikutan kalendar perlawanan antarabangsa, Harimau Selatan perlu segera mendapatkan semula rentak permainan selain mengekalkan disiplin taktikal yang tinggi ketika menyerang mahupun bertahan.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata pertemuan kali ini dijangka berbeza berbanding aksi musim lalu di Phnom Penh yang berakhir dengan keputusan seri 2-2, terutama dengan kelebihan beraksi di laman sendiri yang perlu dimanfaatkan JDT untuk memburu keputusan positif.

“Selain itu, kedua-dua pasukan kini diperkuat beberapa muka baharu yang pastinya akan menjadikan perlawanan esok lebih mencabar,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada Rabu.

Munoz berkata cabaran getir dijangka menanti anak buahnya apabila berdepan pasukan yang memiliki pemain berkualiti, terutama di bahagian tengah serta jentera serangan yang pantas.

Sehubungan itu, mereka perlu memberikan aksi terbaik dan mengekalkan keseimbangan pasukan sepanjang perlawanan.

Tambahnya, tumpuan penuh sejak minit pertama juga penting bagi memastikan JDT kembali menemui rentak permainan dan mampu mempamerkan corak permainan terbaik selepas lama tidak beraksi.

Mengenai kemungkinan melakukan penggiliran pemain bagi menghadapi jadual padat tiga perlawanan dalam tempoh enam hari, Munoz berkata barisan kejurulatihan akan membuat penilaian terakhir malam ini terhadap pemain yang baru kembali daripada tugasan bersama skuad kebangsaan pada Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia sebelum menentukan kesebelasan utama.

Sementara itu, pertahanan JDT Shane Lowry berkata benteng Harimau Selatan bertekad memastikan gawang tidak dibolosi selain mahu mempertahankan rekod cemerlang pasukan di laman sendiri.

Lowry, yang menjaringkan gol pembukaan JDT serta mencipta gerakan gol penyamaan lewat ketika seri 2-2 menentang Svay Rieng musim lepas, berkata kedua-dua pasukan kini tampil dengan barisan pemain yang lebih mantap.

“Saya beraksi dalam perlawanan itu tahun lepas dan sudah tentu ia satu perasaan yang menyeronokkan, tetapi saya sanggup menukarnya dengan rekod tanpa bolos dan kemenangan 1-0 atau 2-0 kerana ia kurang memberi tekanan kepada pemain pertahanan.

“Kami amat berbangga mempertahankan rekod di sini di hadapan penyokong Johor. Kedua-dua pasukan sudah bertambah baik, tetapi terpulang kepada kami untuk menguasai permainan dan memberi tekanan kepada mereka esok,” katanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.