
KUALA LUMPUR, 7 Oktober — Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim dijangka dibentangkan di Parlimen pada persidangan semasa selepas mendapat kelulusan akhir Kabinet minggu ini.
- RUU telah mendapat kelulusan secara prinsip daripada Kabinet dan sesi libat urus dengan kerajaan negeri termasuk Sabah dan Sarawak telah selesai.
- Sesi libat urus memastikan hak dan kepentingan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak, terus terpelihara dalam pelaksanaan RUU.
- Penggubalan RUU antara langkah kerajaan memperkukuh tindakan perubahan iklim, memperkemas kelestarian dan pengurangan pelepasan karbon.
- Kerajaan memberi isyarat jelas: tiada lesen baharu kepada pencemar yang gagal patuhi peraturan udara bersih.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, RUU berkenaan sebelum ini telah mendapat kelulusan secara prinsip daripada Kabinet, manakala sesi libat urus dengan kerajaan negeri termasuk Sabah dan Sarawak juga telah selesai.
“Saya akan maklumkan perkembangan ini kepada Kabinet minggu ini. Sekiranya mendapat kelulusan atau lampu hijau, kita akan memaklumkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat supaya ia dapat dibentangkan dalam sesi yang sedang berlangsung sekarang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan MyNAP High-Level Forum di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Arthur Joseph berkata sesi libat urus dengan negeri penting bagi memastikan hak dan kepentingan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak, terus terpelihara dalam pelaksanaan RUU berkenaan.
Menurutnya, penggubalan RUU itu merupakan antara langkah kerajaan memperkukuh tindakan menangani perubahan iklim, termasuk memperkemas pendekatan berkaitan kelestarian dan pengurangan pelepasan karbon.
Katanya, kerajaan juga telah memberi isyarat jelas kepada industri apabila tidak lagi membenarkan lesen baharu kepada pencemar yang gagal mematuhi peraturan udara bersih di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling.
Media sebelum ini melaporkan, RUU Perubahan Iklim Negara dicadangkan sebagai kerangka perundangan nasional yang merangkumi aspek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, selain melengkapkan dasar, strategi dan pelan tindakan berkaitan perubahan iklim sedia ada.