Presiden Myanmar tiba untuk lawatan rasmi dua hari

Foto RTM

SEPANG, 7 Oktober – Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama dua hari hingga esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Disambut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta menerima istiadat kawalan kehormatan.
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan esok bagi membincangkan hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi.
  • Lawatan membuka ruang keterlibatan langsung menerusi Diplomasi MADANI, mengutamakan perbincangan membina serta nilai keamanan dan kemanusiaan.
  • Perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada usaha perdamaian, rekonsiliasi dan kesejahteraan rakyat termasuk akses kepada bantuan kemanusiaan.

Pesawat persendirian yang membawa beliau tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Ketibaan beliau disambut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, sebelum menerima istiadat kawalan kehormatan daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai oleh Kapten Ikhwan Adlan Jamaludin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan Min Aung Hlaing esok bagi membincangkan beberapa isu utama kedua-dua negara termasuk hubungan dua hala serta kerjasama ekonomi.

Lawatan berkenaan turut membuka ruang untuk meneruskan keterlibatan secara langsung dengan Myanmar melalui pendekatan Diplomasi MADANI yang mengutamakan perbincangan membina, dengan keamanan dan nilai kemanusiaan sebagai pegangan.

Pertemuan itu juga dijangka memberi ruang untuk membincangkan usaha ke arah perdamaian dan rekonsiliasi di Myanmar.

Selain itu, perbincangan akan memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat Myanmar termasuk akses kepada bantuan kemanusiaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.