13 anggota tentera Filipina cedera diserang hendap

Konvoi tentera Filipina diserang hendap oleh kumpulan bersenjata mengakibatkan 13 cedera, 4 kritikal/Foto VIORY

MANILA, 7 Oktober — Sekurang-kurangnya 13 anggota keselamatan Filipina cedera selepas konvoi tentera diserang hendap kumpulan bersenjata di Tipo-Tipo, Basilan, pada Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Konvoi terdiri daripada tiga lori tentera dan tiga kenderaan awam, diketuai Leftenan Kolonel Franco Baylon.
  • Serangan dipercayai tindakan balas oleh kumpulan bersenjata berkaitan suspek dikehendaki Saddam Siddick.
  • Pasukan keselamatan melancarkan operasi memburu suspek susulan serangan.

Serangan berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi waktu tempatan ketika konvoi dalam perjalanan menuju Lamitan City.

Konvoi itu terdiri daripada tiga lori tentera dan tiga kenderaan awam, diketuai Komander Batalion Infantri ke-45, Leftenan Kolonel Franco Baylon.

Tentera Filipina pada awalnya melaporkan enam anggota cedera, namun jumlah kemudian meningkat kepada 13 orang.

Empat daripada mereka dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Pihak tentera sedang menyiasat kemungkinan serangan itu dilakukan sebagai tindakan balas oleh kumpulan bersenjata yang mempunyai kaitan dengan seorang suspek dikehendaki, Saddam Siddick.

Isterinya, Nermalyn Salapuddin Musa, terbunuh dalam operasi keselamatan di Lamitan City pada akhir September.

Kedua-duanya dikehendaki kerana kes bunuh, manakala Siddick berjaya melarikan diri ketika operasi berkenaan.

Susulan serangan itu, pasukan keselamatan Filipina melancarkan operasi memburu suspek. – VIORY

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.