
SAUDARA PENGARANG
- Adab ialah kapasiti intelektual, moral dan spiritual untuk mengenali kedudukan benar dan bertindak dengan keadilan.
- Ilmu dan teknologi tanpa adab menjadi alat kepentingan diri, manipulasi, ketamakan dan kezaliman.
- Ekonomi perhatian media digital mengorbankan etika; kes Siti Hasmah menuntut sempadan antara kepentingan awam dan privasi keluarga.
- Peradaban sebenar diukur melalui kesantunan dan penghormatan terhadap insan yang lemah dan yang berduka, bukan hanya kemajuan material.
Perbincangan mengenai kemelut masyarakat moden lazimnya berkisar pada gejala luaran yang terpapar di permukaan kehidupan seharian daripada krisis moral, keruntuhan akhlak, kemerosotan nilai, dan kecelaruan identiti, sehinggalah kepada penyalahgunaan teknologi serta kelesuan kualiti pendidikan.
Walau bagaimanapun, sarjana tersohor Almarhum Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menawarkan satu kerangka pemikiran yang jauh lebih mendasar dan berasas menerusi gagasan kehilangan adab (loss of adab).
Bagi al-Attas, krisis kemanusiaan tidak bersumberkan kepincangan tingkah laku semata-mata; sebaliknya, ia berakar daripada persoalan fundamental, iaitu kekeliruan terhadap hakikat ilmu, kebenaran, nilai, tujuan kewujudan, serta kedudukan insan dalam hirarki alam.
Dalam kerangka pemikiran al-Attas, adab bukanlah sebatas amalan sopan santun atau tatasusila luaran. Adab merangkumi dimensi intelektual, moral, dan spiritual yang amat mendalam.
Ia didefinisikan sebagai kemampuan rohani dan intelek manusia untuk mengenali serta mengiktiraf kedudukan yang benar bagi setiap sesuatu, memahami hubungan hierarki antara perkara-perkara tersebut, dan bertindak secara adil berasaskan pengiktirafan berkenaan.
Manusia yang beradab bukan sekadar individu yang pandai bertutur kata dengan santun, melainkan insan yang memahami kebenaran, membezakan antara yang utama dengan yang kurang utama, serta bertindak selari dengan peranan dan kewajipannya dalam susunan kewujudan.
Kehilangan Adab sebagai Akar Krisis Kemanusiaan
Hakikat bahawa krisis moden berpunca daripada kehilangan adab dapat dilihat menerusi pelbagai paradoks dalam masyarakat hari ini. Persoalan pokok yang wajar dikemukakan ialah: apakah yang menyebabkan individu berpendidikan tinggi masih terjerumus dalam tindakan tidak bermoral?
Mengapa mereka yang arif tentang undang-undang tetap terbabit dalam amalan rasuah, manakala mereka yang mahir mengurus kewangan masih gagal mengelak pembaziran?
Malah, di tengah-tengah kelimpahan maklumat tanpa sempadan hari ini, mengapa masyarakat masih begitu mudah terperangkap dengan penyebaran berita palsu dan manipulasi emosi?
Persoalan-persoalan ini membuktikan bahawa himpunan maklumat dan penguasaan kemahiran teknikal semata-mata tidak mencukupi untuk membentuk insan yang baik.
Seseorang mungkin mempunyai ilmu tetapi tandus adab dalam mengendalikan ilmu tersebut. Dia mungkin mengetahui bagaimana sesuatu perkara dilakukan dari segi teknikal, namun tidak mempunyai kearifan moral untuk menilai samada perkara tersebut wajar dilakukan.
Di sinilah wujudnya jurang yang besar antara kepintaran intelektual dengan kebijaksanaan hakiki.
Ilmu yang tidak disertai adab hanya akan menjadi alat pemuas kepentingan diri, teknologi tanpa adab memunculkan senjata manipulasi, kekayaan tanpa adab melahirkan ketamakan, dan kuasa tanpa adab mencetuskan kezaliman.
Maka, ukuran sebenar peradaban bukanlah sejauh mana ilmu yang dikumpul, melainkan bagaimana ilmu itu diamalkan secara beradab.
Media Massa dan Ujian Adab dalam Ekonomi Perhatian
Fenomena kehilangan adab menjadi semakin menyerlah tatkala masyarakat melangkah ke era “ekonomi perhatian”.
Dalam lanskap media digital hari ini, perhatian manusia telah dikomersialkan sebagai komoditi bernilai tinggi menerusi penggunaan tajuk provokatif, visual emosional, dan kandungan yang mencetuskan kontroversi.
Platform media sosial pula mengagungkan jumlah tontonan, perkongsian, dan reaksi sebagai indikator utama kejayaan sesuatu kandungan, tanpa mementingkan nilai kebenaran atau etika moral di sebaliknya.
Ujian adab ini terpancar secara jelas dalam peristiwa pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali pada 28 September 2026 yang lalu. Peristiwa duka ini menjadi cermin refleksi penting buat masyarakat Malaysia mengenai batas adab dalam pemberitaan dan tindak balas awam.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada usia 100 tahun sebelum disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya, menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara yang dihadiri oleh suami beliau, Tun Dr. Mahathir Mohamad, serta ahli keluarga terdekat.
Walau bagaimanapun, di sebalik liputan rasmi mengenai jasa dan sumbangan besar Allahyarhamah, peristiwa ini mencetuskan dilema etika yang mendalam: di manakah sempadan antara kepentingan awam dengan hak peribadi sesebuah keluarga untuk berduka secara tenang?
Persoalan ini menjadi amat penting memandangkan Tun Dr. Mahathir baru sahaja kehilangan pasangan hidup dan tempat bersandar jiwanya selepas kira-kira 70 tahun mendirikan rumah tangga.
Dalam suasana sedemikian, masyarakat wajar bermuhasabah: adakah insan yang berkabung memerlukan liputan kamera tanpa henti di setiap sudut peribadi, atau sebaliknya mendahagakan ruang untuk bersedih, berdoa, dan merawat kedukaan tanpa himpitan perhatian awam?
Di sinilah konsep adab berfungsi sebagai pengimbang antara hak awam untuk mengetahui dengan hak individu untuk berduka.
Walaupun Tun Dr. Mahathir merupakan tokoh sejarah negara yang kehidupannya terikat dengan kepentingan awam, status tersebut tidak wajar melupuskan hak privasi beliau sepenuhnya.
Perlu ditegaskan bahawa “kepentingan awam” amat berbeza daripada sekadar “rasa ingin tahu awam”. Sesuatu perkara mungkin menarik perhatian ramai secara sensasi, namun hal itu tidak memberikan lesen mutlak untuk mencerobohi setiap sudut kehidupan peribadi seseorang.
Dalam konteks almarhumah Tun Dr. Siti Hasmah, masyarakat berhak menerima maklumat asas mengenai pemberitaan, acara penghormatan negara, serta rekod jasa beliau. Namun, garis sempadan wajib ditarik apabila laporan mula mencerobohi ruang duka keluarga.
Apabila Capaian Media Mengatasi Akhlak
Cabaran etika ini tidak hanya terhad kepada media profesional, malah meliputi pengguna media sosial atau “netizen”. Hari ini, pendemokrasian teknologi membolehkan sesiapa sahaja bertindak sebagai penerbit.
Seseorang boleh merakam gambar, menulis kapsyen, memuat naik video, dan menyebarkan luas maklumat kepada ribuan penonton dalam hitungan saat tanpa laluannya ditapis oleh proses editorial mahupun pertimbangan etika.
Apabila penderitaan dan kesedihan insan lain dijadikan umpan demi mendapatkan reach dan likes, kita wajib mempersoalkan keutamaan masyarakat: adakah capaian media kini lebih bernilai daripada akhlak?
Jika sesuatu hantaran memperoleh sejuta tontonan tetapi dibina atas penderitaan atau penghinaan terhadap maruah seseorang, adakah itu wajar dianggap sebagai satu kejayaan?
Persoalan ini mengembalikan kita kepada asas pemikiran al-Attas: meletakkan sesuatu pada tempatnya yang betul. Capaian ada tempatnya, kebebasan bersuara ada tempatnya, dan wartawan ada tugasnya; namun, privasi serta maruah insan juga mempunyai tempat yang wajib dihormati.
Kepincangan bermula apabila salah satu daripada elemen ini diangkat secara berlebihan sehingga mengorbankan nilai yang lain.
Adab sebagai Teras Peradaban Hakiki
Secara keseluruhannya, tahap kemajuan sesebuah masyarakat tidak boleh diukur melalui pemilikan teknologi canggih, deretan pencakar langit, mahupun pertumbuhan ekonomi semata-mata.
Peradaban sebenar diukur berdasarkan kesantunan dan keadilan masyarakat dalam memperlakukan golongan yang lemah, insan yang berduka, serta keluarga yang menghadapi kehilangan.
Apabila kita mampu menyanjung seseorang sewaktu di puncak kejayaan tetapi gagal memberikan ruang privasi ketika keluarganya meratapi duka, makna kemajuan tersebut patut dipersoalkan.
Peradaban bukan sekadar keupayaan manusia melakukan apa yang mampu dilakukan oleh teknologi, tetapi keupayaan untuk membendung diri daripada melakukan perkara yang bertentangan dengan adab.
Teknologi mungkin memberi keupayaan untuk merakam segala-galanya, namun adab mengajar bahawa tidak semua perkara layak dirakam. Teknologi membolehkan apa sahaja diterbitkan, tetapi adab membimbing manusia bahawa tidak semua kandungan wajar disebarkan.
Gagasan loss of adab Syed Muhammad Naquib al-Attas bukanlah sekadar teori akademik atau nostalgik masa lalu, melainkan satu kerangka yang amat mendesak bagi mendepani cabaran era digital hari ini.
Keseimbangan antara hak untuk mengetahui dengan hak untuk menghormati duka insan lain ialah penterjemahan nyata kepada nilai adab yang menjadi teras keperibadian sesebuah masyarakat yang benar-benar bertamadun.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Mohd Amim Othman
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia
E-mel: mohdamim@upm.edu.my