KKM pertimbang kaji kesan penempatan jauh pegawai perubatan

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertimbang keperluan untuk menjalankan kajian asas bagi menilai kesan penempatan jauh bagi pegawai perubatan terhadap pasangan dan institusi keluarga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada data khusus mengenai keretakan rumah tangga atau perceraian akibat pegawai ditempatkan jauh daripada keluarga.
  • Penempatan dibuat berdasarkan keperluan jabatan, kelayakan, kompetensi, pengalaman, tempoh perkhidmatan, jarak, tanggungan dan isu kesihatan.
  • Kira-kira 74 peratus permohonan penempatan berjaya; selebihnya tidak dipenuhi akibat ketiadaan kekosongan.
  • Garis Panduan Pengurusan Buli dilancarkan; 730 aduan diterima, empat disahkan; KKM jamin perlindungan pemberi maklumat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan kajian itu penting bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kesan perpisahan suami isteri dalam tempoh panjang akibat tuntutan tugas.

Bagaimanapun menurut beliau, setakat ini pihaknya tidak mempunyai data khusus mengenai keretakan rumah tangga atau perceraian akibat pegawai ditempatkan jauh daripada keluarga.

“Saya kira ada kepentingan untuk kita lakukan kajian asas mengenai sejauh mana terkesannya rumah tangga mereka akibat perpisahan yang begini lama, akibat jawatan atau akibat tugasan dan kerjaya.”

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu yang dibangkitkan Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkaitan buli, penempatan, pertukaran, kebajikan dan ‘brain drain’ pegawai perubatan KKM pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Dr Dzulkefly, keputusan mengenai penempatan pegawai dibuat berdasarkan kepentingan dan kekosongan jabatan dengan mengambil kira antaranya kelayakan, kompetensi, pengalaman, tempoh perkhidmatan, jarak tempat kerja, tanggungan serta masalah kesihatan pegawai atau ahli keluarga.

Beliau berkata kira-kira 74 peratus permohonan berkaitan penempatan berjaya diuruskan manakala selebihnya tidak dapat dipenuhi atas pelbagai faktor termasuk ketiadaan kekosongan.

Bagi urusan pertukaran pula, tiada tempoh menunggu seragam kerana ia bergantung kepada tarikh permohonan, tarikh tutup kitaran, mesyuarat jawatankuasa berkaitan serta keperluan perkhidmatan, dengan proses pertukaran dilaksanakan sekurang-kurangnya empat kali setahun.

Jelas beliau lagi, KKM turut menyediakan sistem pertukaran suka sama suka (P3S) yang setakat ini menyaksikan 118 pasangan jururawat berjaya mendapat padanan, selain lapan kes melibatkan keperluan perkhidmatan dan 18 dalam perkhidmatan farmasi.

Mengenai isu buli dan budaya kerja toksik, Dr Dzulkefly berkata, KKM melancarkan Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja bagi anggota kementerian pada 21 Ogos 2025, merangkumi prosedur pelaporan, pencegahan dan intervensi.

Sebanyak 730 aduan direkodkan menerusi sistem aduan sejak 1 Oktober 2022 hingga 28 September lepas, dengan empat aduan disahkan berasas dan tindakan telah diambil, manakala 726 lagi melibatkan pelbagai isu termasuk perkhidmatan, operasi, pertukaran dan komunikasi.

Dr Dzulkefly turut memberi jaminan beliau tidak akan berkompromi dalam soal perlindungan pemberi maklumat daripada sebarang tindakan pihak atasan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.