Universiti bukan sekolah, mahasiswa perlu belajar mendekati pensyarah

Majlis Ikrar Pelajar Baharu Sesi 2026/2027/Foto UPM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Universiti bukan sekolah; pelajar perlu berdikari dan ubah budaya pembelajaran sekolah.
  • Fahami hasil pembelajaran dan kaedah penilaian kursus sejak awal supaya boleh rancang usaha belajar dengan berkesan.
  • Dekati pensyarah melalui ilmu: hadir bersedia, bertanya, ambil bahagian aktif dan gunakan waktu konsultasi.
  • Bangunkan hubungan akademik; pensyarah boleh buka peluang penyelidikan, rujukan, mobiliti, biasiswa dan jaringan industri.

Minggu ini, sebahagian besar universiti dan institusi pendidikan tinggi (IPT) lain di Malaysia memulakan tahun pengajian yang baharu.

Pelajar baharu telah pun melaporkan diri untuk memulakan pengajian di tahun pertama, diikuti mahasiswa senior yang kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian di tahun kedua, ketiga, keempat atau kelima.

Dalam keterujaan memulakan semester baharu, saya ingin berkongsi satu tip penting kepada mahasiswa, khususnya mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke menara gading.

Universiti Bukan Sekolah. Apabila memasuki universiti, cara belajar juga perlu berubah. Mahasiswa tidak lagi boleh sepenuhnya membawa budaya pembelajaran ketika di sekolah ke alam universiti.

Ketika di sekolah, khususnya bagi peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sistem pentaksiran adalah lebih berpusat. Bagi mata pelajaran peperiksaan pusat, instrumen dan skema pemarkahan dikendalikan mengikut sistem peperiksaan kebangsaan.

Di universiti, pendekatannya lebih terbuka. Setiap program sememangnya mempunyai struktur kurikulum, hasil pembelajaran, kaedah pentaksiran dan standard akademik yang ditetapkan oleh universiti.

Namun, pensyarah mempunyai peranan yang lebih besar dalam menentukan bagaimana sesuatu kursus diajar dan ditaksir.

Ada kursus yang memberikan pemberatan besar kepada peperiksaan akhir. Ada yang menekankan tugasan, kuiz, projek, pembentangan, laporan makmal, kajian kes, kerja lapangan atau gabungan beberapa kaedah penilaian.

Justeru, mahasiswa perlu memahami sejak awal apakah hasil pembelajaran yang perlu dicapai dan bagaimana mereka akan dinilai.

Di sinilah pentingnya mahasiswa membina hubungan akademik yang baik dengan pensyarah. Saya selalu berpesan, kreatiflah mendekati pensyarah.

Mendekati pensyarah bukan bermaksud membodek untuk mendapatkan markah lebih tinggi. Jauh sekali mengharapkan layanan istimewa. Sebaliknya, rapatlah dengan pensyarah melalui ilmu.

Datang ke kuliah dengan persediaan. Duduk di tempat yang membolehkan anda memberikan tumpuan. Bertanya apabila tidak memahami sesuatu. Berikan pandangan apabila ruang perbincangan dibuka.

Ambil bahagian secara aktif ketika kuliah, tutorial atau sesi makmal. Jika masih tidak memahami sesuatu topik, jumpalah pensyarah selepas kelas atau gunakan waktu konsultasi yang disediakan.

Jangan takut bertanya kerana bimbang dianggap tidak pandai. Soalan yang baik sebenarnya menunjukkan seseorang mahasiswa berfikir, mahu memahami dan mempunyai rasa ingin tahu.

Pada masa sama, mahasiswa perlu memahami bahawa pensyarah bukan sekadar individu yang masuk ke dewan kuliah, mengajar dan memberikan markah. Pensyarah mempunyai kepakaran, pengalaman penyelidikan, jaringan profesional dan hubungan dengan industri.

Hubungan akademik yang baik boleh membuka banyak ruang pembelajaran. Daripada seorang pensyarah, mahasiswa mungkin mendapat peluang menyertai projek penyelidikan, pertandingan inovasi, persidangan, penulisan ilmiah, program mobiliti atau diperkenalkan kepada jaringan industri.

Pensyarah juga mungkin menjadi penyelia Projek Tahun Akhir (FYP), mentor, pemberi rujukan atau individu yang menulis surat rekomendasi apabila mahasiswa memohon biasiswa, latihan industri, pekerjaan atau melanjutkan pengajian pada masa hadapan.

Sebab itu, jangan menjadi mahasiswa yang hanya muncul ketika kuliah dan menghilang sebaik sahaja kelas berakhir.

Lebih merugikan apabila sepanjang tiga atau empat tahun pengajian, pensyarah hanya mengenali nama seseorang mahasiswa melalui senarai kehadiran dan kertas jawapan peperiksaan.

Mahasiswa juga perlu meninggalkan budaya menunggu untuk ‘disuap’. Di sekolah, guru mungkin sentiasa mengingatkan apa yang perlu dibaca, tugasan yang belum dihantar atau tarikh peperiksaan yang semakin hampir.

Di universiti, tanggungjawab pembelajaran semakin berpindah kepada mahasiswa sendiri. Bacalah sebelum kuliah. Cari bahan tambahan. Gunakan perpustakaan dan sumber digital. Bincang dengan rakan. Bertanya. Berhujah secara ilmiah dan belajar menerima pandangan yang berbeza.

Dalam erti kata lain, mahasiswa perlu belajar bagaimana untuk belajar. Universiti bukan semata-mata tempat mengumpul kredit sehingga cukup syarat untuk menerima segulung ijazah.

Ia adalah tempat membina kematangan intelektual, keyakinan, jaringan dan keupayaan untuk berdikari.

Justeru, sempena bermulanya tahun pengajian baharu ini, mahasiswa jangan hanya bertanya, “Apakah yang pensyarah akan ajar saya?”

Sebaliknya, tanyakan juga kepada diri sendiri, “Apakah yang boleh saya lakukan untuk mendapatkan sebanyak mungkin ilmu, pengalaman dan bimbingan daripada pensyarah saya?”

Kerana akhirnya, universiti menyediakan ruang dan pensyarah membuka pintu ilmu, tetapi mahasiswa sendirilah yang perlu memilih untuk melangkah masuk.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Ludinata Misnun
Timbalan Pengarah
Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan
Universiti Putra Malaysia
E-mel: ludinata@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.