AS beri amaran bank asing elak urus niaga dengan Iran

Beberapa kapal berlayar di Selat Hormuz / Foto AFP

WASHINGTON, 6 Oktober – Amerika Syarikat (AS) memberi amaran bahawa institusi kewangan asing berdepan risiko dikenakan sekatan sekiranya terus menjalankan urus niaga dengan Iran atau sektor perbankan negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Perbendaharaan AS menyatakan sekatan boleh dikenakan tanpa notis awal.
  • Sejak akhir Ogos, AS mengumumkan sekatan baru menyasarkan sektor kewangan, mata wang kripto, rel, automotif dan pembuatan Iran.
  • Jabatan Perbendaharaan mendakwa Iran menggunakan rangkaian perbankan bayangan untuk memintas sekatan AS.

Jabatan Perbendaharaan AS dalam kenyataan pada Isnin menegaskan, sekatan boleh dikenakan tanpa notis awal.

AS menggesa institusi terbabit segera menamatkan sebarang aktiviti dan hubungan dengan Iran.

Amaran berkenaan dikeluarkan ketika Washington memperhebat usaha mengasingkan Tehran dalam bidang ekonomi.

Sejak akhir Ogos, AS mengumumkan beberapa siri sekatan baharu yang menyasarkan sektor kewangan, mata wang kripto, rel, automotif dan pembuatan Iran.

Washington sebelum ini turut mengambil tindakan terhadap dua bank, masing-masing di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Turkiye, atas dakwaan membantu pihak berkuasa Iran.

Jabatan Perbendaharaan AS mendakwa kerajaan Iran menggunakan rangkaian yang disifatkan sebagai “perbankan bayangan” bagi memintas sekatan Washington.

Ketegangan antara Washington dan Tehran meningkat sejak AS dan Israel melancar serangan terhadap Iran pada penghujung Februari.

Konflik itu kemudian mencetuskan tindak balas Iran terhadap AS dan sekutunya di rantau Teluk. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.