KPWKM sedia sokongan psikososial kepada keluarga Irene Sofiya

Datuk Seri Nancy Shukri ketika berucap merasmikan Forum Kebahagiaan Rumah Tangga “Tenangkan Emosi, Eratkan Kasih” di ibu negara

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia menyalurkan sokongan psikososial kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, sekiranya diperlukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPWKM sedia menyalurkan sokongan psikososial dan mengadakan kunjungan kepada keluarga Irene sekiranya diperlukan.
  • KPWKM memberi ruang kepada keluarga untuk berduka dan tidak mahu bertindak tergesa-gesa.
  • Belum ada libat urus rasmi dengan KPM; perbincangan tidak rasmi pernah diadakan, dan KPM mempunyai lebih 7,000 kaunselor.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan itu termasuk kunjungan kepada keluarga bagi membantu mereka menghadapi situasi berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya perlu memberi ruang kepada keluarga untuk melalui tempoh berduka dan tidak wajar mengambil pendekatan secara tergesa-gesa.

“KPWKM mempunyai kaunselor sendiri, jadi kalau diperlukan untuk kami melawat keluarga, ia lebih kepada membantu dari segi psikososial keluarga, sekiranya mereka memerlukannya.

“Setakat ini, belum ada yang datang kepada kita untuk mendapatkan bantuan tersebut dan kami pun tidak mahu terus pergi kepada keluarga yang baru sahaja melalui keadaan ini. Jadi, biarlah dahulu, kemudian baru kita cuba,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Forum Kebahagiaan Rumah Tangga “Tenangkan Emosi, Eratkan Kasih”, di sini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy memaklumkan KPWKM setakat ini belum mengadakan libat urus rasmi dengan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung sokongan psikologi kepada pelajar.

Bagaimanapun, perbincangan secara tidak rasmi pernah diadakan, termasuk berkaitan keperluan perkhidmatan kaunseling.

“Dari segi kaunseling, KPM memang mempunyai kaunselor mereka sendiri. Jumlahnya juga ramai, lebih 7,000 hingga 8,000 orang.

“Jadi, saya rasa mereka juga sudah diberi latihan yang bersesuaian. Kalau mereka perlu bekerjasama dengan Lembaga Kaunselor Malaysia, kami terbuka untuk bekerjasama,” tambah beliau.

Pada Sabtu lalu, pelajar berumur 16 tahun itu ditemukan tidak bernyawa di kawasan dewan sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Mangsa dipercayai hadir ke sekolah untuk mengikuti kelas tambahan sebelum ditemukan oleh neneknya selepas menyedari remaja berkenaan tidak pulang ke rumah.

Susulan kejadian itu, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan direman selama enam hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.