Utamakan etika, bukan semua rahsia alam perlu diteroka

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan etika: jangan meneroka atau mengeksploitasi alam demi kepuasan diri atau pengiktirafan media sosial.
  • Patuhi undang-undang taman negara dan permit; ia melindungi biodiversiti serta mengelakkan risiko keselamatan dan kerosakan ekologi.
  • Amalkan prinsip Tanpa Jejak: hormati kawasan suci dan biarkan sebahagian rahsia alam kekal terpelihara, bukan untuk dieksploitasi.

Awal bulan ini negara sekali lagi dikejutkan dengan kisah pendaki Croatia yang melakukan ‘pengembaraan’ tanpa permit dan akhirnya terpaksa diselamatkan di Laluan Sungai Mesilou Gunung Kinabalu.

Perbuatan yang pada asalnya adalah kesalahan ‘pencerobohan’ akhirnya seolah-olah dikaburi dengan perkongsian gambar-gambar beliau berlatarbelakangkan persekitaran Puncak Tertinggi Malaysia itu yang dikongsi di media sosial, malahan keberaniannya turut dikagumi sebilangan netizen.

Bagi sebilangan pendaki gunung dan pengembara, setiap puncak yang ditawan ialah satu kejayaan peribadi. Namun, kebelakangan ini, wujud satu fenomena kian membarah dalam kalangan komuniti pendaki iaitu sikap “rakus meneroka”.

Meneroka demi kepuasan kendiri, kandungan media sosial, atau sekadar mahu menjadi orang pertama yang sampai ke destinasi terpencil?

Keghairahan menakluki kawasan ikonik atau laluan ekstrem yang ditutup atas faktor keselamatan serta sensitiviti budaya bukanlah perkara baharu di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Malangnya, obsesi ini sering membawa kepada pencerobohan undang-undang yang biasanya hanya terbongkar apabila pelaku terancam dan memerlukan bantuan keselamatan.

Sama ada di banjaran tertinggi mahupun di kawasan hutan universiti, sentiasa ada individu yang sanggup meneroka ‘ruang misteri’ ini demi kepuasan peribadi.

Persoalannya, adakah status sebagai “pengembara tegar” atau “pendaki berpengalaman” memberi lesen mendepani undang-undang dan melangkau batas sempadan ruang rekreasi yang dibenarkan?

Keterujaan Melampau dan Fantasi Si Penakluk

Undang-undang dan peraturan taman negara dibentuk bukan untuk mengehadkan kebebasan, sebaliknya bagi tujuan memelihara khazanah alam daripada kemusnahan.

Sebarang pencerobohan ke kawasan larangan atau ruang yang belum dirintis bukan sahaja mendedahkan diri kepada risiko, namun turut mengganggu habitat hidupan liar.

Tabiat itu juga akan merosakkan tumbuhan endemik yang rapuh dan yang paling parah adalah mencetuskan trend baharu dan seterusnya mendorong pencerobohan lain.

Di sebalik kerakusan, wujud persepsi keliru bahawa manusia mempunyai hak mutlak untuk meneroka setiap pelosok bumi.

Tanpa kita sedar, lonjakan adrenalin dan pencarian validasi melalui media sosial telah mengubah pengembaraan daripada satu bentuk apresiasi alam kepada satu aktiviti eksploitasi.

Ketagihan meneroka tanpa batasan moral dan undang-undang bukanlah petanda keberanian, melainkan ketiadaan rasa hormat terhadap alam.

Akurlah bahawa terdapat rahsia alam yang perlu terus kekal misteri, wujudnya hanya untuk dikagumi dari jauh, terus dilindungi dan bukan untuk dieksploitasi.

Penting Menghormati Rahsia Alam

Sangat penting untuk masyarakat sedar bahawa tidak semua sumber alam perlu dieksplorasi. Melalui kearifan tempatan yang diakui pelbagai budaya, hutan tebal dan gunung kerap dianggap sebagai kawasan suci yang menuntut penghormatan tinggi.

Secara saintifik pula, kawasan terpencil ini bertindak sebagai rizab biodiversiti dan zon semula jadi yang memelihara keseimbangan ekosistem global.

Ekspedisi tanpa permit secara langsung menjejaskan integriti ekologi. Komuniti pendaki seharusnya seharusnya menghayati prinsip ‘Tanpa Jejak’ (Leave No Trace).

Bukan sekadar menjadikannya slogan retorik, tetapi sebagai etika asas yang jelas menekankan kepentingan mematuhi undang-undang serta batasan di laluan pendakian.

Berbalik kepada kes di Gunung Kinabalu, ketegasan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah jelas memberi mesej bahawa undang-undang perlindungan awam tidak boleh diperkotak-katikkan.

Tindakan melanggar sempadan telah meninggalkan ‘jejak’ yang parah apabila operasi menyelamat disertai oleh puluhan anggota. Perkongsian pelaku di media sosial juga telah mencetuskan keterujaan lanjutan di kalangan “pencipta memori”.

Di Malaysia, Enakmen Taman-Taman 1984, Akta Taman Negara 1980 dan Akta Perhutanan Negara 1984 bukan sekadar deretan teks perundangan, tetapi sebuah perisai ekologi yang menuntut penghayatan dan pematuhan.

Buat komuniti pendaki, pengembara, dan pencetus trend, warisan terbaik yang boleh ditinggalkan bukanlah jejak tapak kaki mahupun gambar swafoto di setiap puncak. Sebaliknya, ia adalah keberanian untuk berundur demi membiarkan sebahagian ruang alam kekal tidak terusik.

Ayuh kita hayati madah popular tokoh pendaki dunia, Sir Edmund Hillary “ Sesungguhnya, bukanlah gunung yang kita tawan, melainkan diri kita sendiri.”

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan atau pendirian rasmi RTM.


Gs. Dr. Azita Ahmad Zawawi
Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan
Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar
Universiti Putra Malaysia
E-mel: azitazawawi@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.