Akademia & reputasi universiti : Antara ranking & tanggungjawab hakiki

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Reputasi hakiki terbina daripada sumbangan pemikiran, integriti dan ketokohan akademia, bukan melalui jalan pintas.
  • Kecemerlangan harus diukur dari impak kepada masyarakat, kebolehgunaan ilmu dan kemampuan menyelesaikan masalah sebenar.
  • Akademia yang ikhlas menegakkan integriti dan membimbing pelajar adalah penjaga reputasi, manakala khidmat masyarakat menyemai reputasi organik.

Reputasi universiti pada hari ini sering diukur dengan nombor. Kita bercakap tentang kedudukan QS World University Rankings, Times Higher Education (THE), jumlah penerbitan Q1, nilai h-index dan jumlah geran antarabangsa.

Dalam mesyuarat senat dan mesyuarat pengurusan universiti, angka-angka inilah yang menjadi bahasa utama. Universiti yang baik ditakrifkan sebagai universiti yang rankingnya naik, dan universiti yang gagal ditakrifkan sebagai universiti yang rankingnya jatuh.

Fenomena ini telah mencipta satu obsesi baharu dalam dunia pendidikan tinggi.

Namun, adakah reputasi yang hakiki bagi sebuah universiti hanya terletak pada nombor-nombor tersebut?

Sejarah universiti-universiti besar dunia menunjukkan bahawa reputasi yang kekal bukanlah dibina oleh carta ranking, tetapi oleh sumbangan pemikiran dan ketokohan para akademianya.

Universiti Al-Azhar kekal bereputasi kerana ulama-ulamanya menjadi rujukan umat. Universiti Harvard dan Oxford kekal dihormati bukan sekadar kerana makmalnya yang canggih, tetapi kerana profesor-profesornya menjadi pemikir yang membentuk dasar dunia.

Maka, persoalan yang perlu kita tanyakan semula sempena Hari Akademia ialah apakah hubungan sebenar antara akademia dan reputasi universiti?

Reputasi Atas Kertas (Semu): Apabila Universiti Mengejar Bayang-Bayang

Dalam dua dekad kebelakangan ini, banyak universiti di Asia termasuk di Malaysia telah memasuki perangkap yang disebut sebagai ranking game. Untuk menaikkan reputasi secara cepat, pelbagai strategi jangka pendek telah diambil.

Antaranya ialah pengambilan profesor sitasi tinggi secara kontrak jangka pendek, penekanan melampau kepada penerbitan di jurnal berbayar, dan penggalakan budaya penerbitan yang berlebihan sehingga mewujudkan istilah paper mill dan gift authorship.

Akibatnya, kita berjaya menaikkan angka di atas kertas, tetapi kita berisiko menggadaikan asas yang lebih penting, iaitu integriti ilmu. Reputasi yang dibina melalui jalan pintas seperti ini adalah reputasi yang semu dan rapuh.

Ia akan runtuh apabila audit integriti akademik dilakukan atau apabila masyarakat mendapati bahawa universiti yang rankingnya tinggi tidak mampu menyelesaikan masalah kemiskinan, pengangguran siswazah dan keruntuhan akhlak di sekitar kampusnya sendiri.

Reputasi semu memuaskan ego pengurusan, tetapi reputasi hakiki memuaskan harapan masyarakat.

Akademia Sebagai Penjaga Integriti dan Jenama Universiti

Hakikatnya, penjaga reputasi universiti yang sebenar bukanlah pejabat perhubungan korporat, bukan juga perunding ranking antarabangsa yang dibayar dengan harga yang mahal. Penjaga reputasi universiti yang sebenar ialah para akademia itu sendiri.

Seorang pensyarah yang mengajar dengan ikhlas di dalam kelas pada pukul 8.00 pagi, seorang penyelia yang membaca tesis pelajarnya dengan teliti dan menegur plagiarisme walaupun terpaksa bergaduh.

Akademia itu juga mungkin seorang penyelidik yang menolak untuk memasukkan nama VIP sebagai penulis hantu, dan seorang profesor yang berani berkata bahawa datanya tidak menyokong dasar popular; merekalah yang sebenarnya sedang menjaga reputasi universiti.

Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia sekadar menyebut beberapa contoh, membina nama mereka pada era 1970-an hingga 1990-an bukan kerana ranking, tetapi kerana ketokohan sarjananya.

Mereka seperti Tan Sir Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Profesor Diraja Ungku Aziz, Profesor Dr. Syed Hussein Alatas dan ramai lagi yang karyanya dibaca dan dihormati.

Reputasi universiti adalah bayangan kepada maruah dan integriti para akademianya. Apabila akademia menjaga adab dan amanah ilmu, reputasi universiti akan terjaga dengan sendirinya.

Dari Penerbitan Kepada Impak: Menilai Semula Definisi Kecemerlangan

Untuk membina semula reputasi yang hakiki, universiti perlu berani menilai semula definisi kecemerlangan akademik. Kecemerlangan tidak boleh diukur semata-mata melalui berapa banyak artikel yang diterbitkan, tetapi melalui berapa banyak masalah yang diselesaikan.

Pertama, universiti perlu mengiktiraf semula penulisan dalam Bahasa Melayu sebagai sumbangan reputasi.

Apabila seorang profesor menulis buku yang menjadi rujukan guru-guru di sekolah, atau menulis rencana yang mencerahkan pemikiran ribuan pembaca akhbar, sumbangan itu jauh lebih besar impaknya kepada negara berbanding sebuah artikel Q1 yang hanya dibaca oleh 20 orang pakar dalam bidang yang sangat sempit.

Kedua, universiti perlu mengukur reputasi melalui kebolehpasaran dan kebolehgunaan ilmu. Berapa banyak dasar kerajaan negeri yang digubal berdasarkan kajian fakulti kita?

Berapa banyak komuniti B40 yang keluar daripada kemiskinan kerana projek libat urus komuniti kita? Berapa banyak sekolah yang prestasi sainsnya meningkat kerana intervensi daripada pakar pendidikan kita?

Inilah real-world reputation yang tidak akan muncul dalam carta QS, tetapi akan hidup dalam hati rakyat.

Ketiga, budaya mentoring perlu dikembalikan. Reputasi universiti yang paling kekal adalah apabila graduan pascasiswazahnya dikenali sebagai insan yang berilmu, beradab dan berintegriti di pasaran kerja. Graduan yang berkualiti adalah duta reputasi yang paling jujur.

Membina Reputasi Organik Melalui Khidmat kepada Masyarakat

Universiti-universiti terbaik dunia pada hari ini sedang kembali kepada falsafah asal penubuhannya, iaitu university for society.

Di Universiti Gadjah Mada, profesor turun ke sawah membantu petani. Di Universiti di Afrika Selatan, penyelidik membantu membina sistem bekalan air bersih.

Di Malaysia, konsep Malaysia MADANI memberi ruang yang sangat besar untuk universiti membina reputasi organik.

Reputasi organik bermaksud reputasi yang tumbuh daripada bawah, daripada kepercayaan masyarakat, bukan reputasi yang disembur dari atas melalui iklan dan publisiti.

Bayangkan jika setiap fakulti di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mempunyai satu kampung angkat yang benar-benar diangkat taraf ekonomi dan pendidikannya.

Bayangkan jika kepakaran fakulti perubatan, syariah, ekonomi dan IT digabungkan untuk menyelesaikan satu masalah komuniti.

Apabila kampung itu berjaya, reputasi universiti akan tersebar tanpa perlu membayar satu sen pun kepada penilai ranking. Masyarakat akan berkata, “Itulah universiti yang berjasa kepada kami.” Inilah reputasi yang tidak boleh dibeli.

Kesimpulan

Ranking antarabangsa adalah penting sebagai penanda aras kecemerlangan global, dan kita tidak boleh menolaknya sama sekali.

Namun, kita tidak boleh membiarkan ranking menjadi tuan kepada kita, sehingga kita lupa siapa kita dan untuk siapa kita ditubuhkan.

Universiti yang hanya mengejar ranking akan menjadi kilang sijil dan kilang kertas, tetapi universiti yang mengejar khidmat akan menjadi mercu tamadun.

Akhirnya, reputasi universiti tidak dibina dalam bilik mesyuarat pengurusan, tetapi dibina dalam bilik kuliah, di makmal, di perpustakaan pada jam 2 pagi, dan di tengah-tengah masyarakat yang memerlukan.

Ia dibina oleh akademia yang ikhlas, yang percaya bahawa ilmu adalah amanah, bukan komoditi.

Jika setiap akademia menjaga amanah ilmunya, maka reputasi universiti akan terpelihara. Kerana pada hakikatnya, tidak ada reputasi universiti tanpa reputasi akademia yang menjaganya.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Nik Mohd Zaim Ab Rahim
Penolong Pengarah/Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur
E-mel: nmzaim.kl@utm.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.