
SAUDARA PENGARANG
- Jaminan makanan memerlukan kelangsungan agribisnes keluarga, bukan sekadar peningkatan hasil; pewarisan pengetahuan, jaringan dan tanggungjawab mesti dirancang.
- Generasi baharu harus dilibatkan awal untuk menerima pengalaman, membangun minat, dan membawa inovasi seperti digitalisasi serta produk hiliran.
- Kelangsungan perusahaan menjejaskan rantaian nilai dan keselamatan makanan; sokongan meliputi perancangan pewarisan, latihan, pendigitalan dan pembangunan pasaran.
Apabila berbicara mengenai jaminan makanan negara, kita sering bertanya berapa banyak makanan yang mampu dihasilkan, sejauh mana kebergantungan kepada import dapat dikurangkan dan bagaimana teknologi boleh meningkatkan produktiviti.
Namun, ada satu persoalan yang sama penting tetapi masih kurang dibincangkan: siapa yang akan terus menghasilkan makanan apabila generasi pengusaha tani hari ini semakin berusia dan berundur?
Jaminan makanan bukan sekadar soal pengeluaran. Ia juga soal kelangsungan. Kita boleh meningkatkan hasil, memperkenalkan teknologi baharu dan memperluas penggunaan pertanian pintar.
Tetapi semua itu tidak mencukupi jika perusahaan yang sudah mempunyai tanah, pengalaman, pekerja dan pasaran akhirnya terhenti apabila pengasas tidak lagi mampu menguruskannya.
Bagi perusahaan tani keluarga, inilah antara cabaran yang perlu diberikan perhatian. Selepas puluhan tahun membangunkan kebun dan perniagaan, persoalannya bukan sekadar siapa yang akan mewarisi tanah atau syarikat.
Persoalan yang lebih penting ialah siapa yang mempunyai minat, kemampuan dan kesediaan untuk meneruskan serta mengembangkan perusahaan tersebut.
Bukan Sekadar Mewarisi Kebun
Situasi ini dapat dilihat dalam kalangan perusahaan tani keluarga di Cameron Highlands. Kawasan tanah tinggi ini bukan sahaja terkenal dengan pengeluaran sayur-sayuran, malah tanaman strawberi telah menjadi sebahagian daripada identiti pertanian dan pelancongannya.
Perusahaan seperti KHM Strawberries & Jam, Al-Mashoor dan Starzy, misalnya, bukan sahaja mengusahakan tanaman strawberi, malah turut terlibat dalam aktiviti pertanian lain.
Al-Mashoor kini mengusahakan tanaman bawang, manakala KHM turut menghasilkan pelbagai sayur-sayuran dan buah-buahan.
Apa yang menarik, KHM dan Starzy juga telah mengembangkan perniagaan mereka melangkaui aktiviti pertanian di kebun. Kedua-duanya turut memberi tumpuan kepada perniagaan kafe serta penghasilan produk hiliran halal berasaskan strawberi.
Perkembangan perniagaan ini kini diteruskan oleh generasi kedua keluarga masing-masing. Di sinilah kita boleh melihat pewarisan daripada sudut yang lebih luas.
Generasi kedua tidak semestinya hanya mengambil alih dan meneruskan apa yang dilakukan oleh pengasas. Mereka juga boleh membawa perusahaan ke arah baharu melalui produk hiliran, penjenamaan, perkhidmatan makanan, pemasaran dan pelancongan. Dengan kata lain, pewarisan boleh menjadi ruang untuk pembaharuan.
Pengasas membina asas perusahaan. Generasi seterusnya pula boleh menggunakan asas tersebut untuk membawa perniagaan ke tahap berikutnya. Namun, perkara ini hanya boleh berlaku jika generasi pelapis benar-benar bersedia.
Yang Diwarisi Bukan Hanya Aset
Seorang anak mungkin boleh mewarisi tanah, rumah hijau, peralatan dan nama perniagaan.
Namun, kemampuan membaca keadaan tanaman, mengurus pekerja, menangani perubahan cuaca, berunding dengan pembekal dan pembeli serta membuat keputusan ketika berlaku masalah tidak boleh dipindahkan dalam sehari.
Begitu juga dengan hubungan yang telah dibina dengan pekerja, pelanggan, pembekal dan komuniti setempat. Sebahagian daripadanya mengambil masa bertahun-tahun untuk dibangunkan.
Inilah sebabnya pewarisan perniagaan keluarga tidak seharusnya dilihat sebagai pemindahan aset semata-mata. Ia juga melibatkan pemindahan pengetahuan, pengalaman, jaringan, tanggungjawab dan akhirnya kepimpinan. Jika proses ini gagal, yang hilang bukan hanya sebuah perniagaan.
Satu Perusahaan, Kesannya Kepada Ramai
Kepentingan kelangsungan agribisnes menjadi lebih jelas apabila kita melihat keseluruhan rantaian nilai. Fazz Industries di Banting, misalnya, terlibat dalam pemprosesan pelbagai kerepek berasaskan hasil pertanian seperti pisang dan ubi kayu.
Pengusahaan tanaman sendiri membantu memastikan kesinambungan bekalan bahan mentah, manakala keperluan tambahan turut membuka peluang kepada pekebun lain untuk membekalkan hasil. Ini menunjukkan bahawa sebuah agribisnes tidak berdiri sendirian.
Di belakangnya ada pekebun, pekerja, pembekal, pengedar dan pengguna. Ada keluarga yang memperoleh pendapatan daripada pekerjaan yang diwujudkan. Ada juga perusahaan lain yang bergantung kepada permintaan yang terhasil sepanjang rantaian tersebut.
Apabila sebuah agribisnes gagal diteruskan, kesannya boleh bergerak melangkaui keluarga pemilik. Sebab itu, kelangsungan agribisnes keluarga tidak seharusnya dianggap sebagai urusan dalaman sesebuah keluarga semata-mata.
Dalam skala yang lebih besar, ia mempunyai kaitan dengan keupayaan kita mengekalkan sebahagian daripada ekosistem pengeluaran makanan yang sudah wujud.
Mengapa Kelangsungan Semakin Penting
Malaysia masih berhadapan jurang antara pengeluaran tempatan dengan permintaan. Nilai import makanan negara meningkat daripada RM42.64 bilion pada 2014 kepada RM78.80 bilion pada 2023.
Tahap sara diri beberapa komoditi juga masih rendah. Pada 2023, pengeluaran tempatan memenuhi sekitar 14.7 peratus keperluan daging lembu, 8.7 peratus daging kambing, 57.3 peratus susu dan 63 peratus beras.
Import sememangnya diperlukan untuk melengkapkan kekurangan bekalan domestik. Namun, kebergantungan kepada sumber luar turut mendedahkan negara kepada perubahan harga global, gangguan rantaian bekalan dan perubahan dasar negara pengeksport.
Dalam keadaan ini, memperkukuh pengeluaran tempatan menjadi semakin penting. Tetapi ada satu perkara yang perlu kita ingat. Kapasiti pengeluaran yang sudah wujud juga perlu dipertahankan.
Kita tidak seharusnya hanya bertanya bagaimana hendak menghasilkan lebih banyak makanan. Kita juga perlu bertanya bagaimana hendak memastikan perusahaan yang sudah menghasilkan makanan hari ini masih mampu beroperasi lima, 10 atau 20 tahun akan datang.
Pelapis Perlu Dibentuk, Bukan Ditunggu
Malaysia sememangnya memerlukan lebih ramai agropreneur muda. Usaha menarik generasi baharu ke sektor pertanian, memperkenalkan teknologi dan memperluas pertanian pintar perlu diteruskan.
Namun, strategi membangunkan agropreneur tidak seharusnya hanya bermula dengan mewujudkan perniagaan baharu.
Kita juga mempunyai perusahaan sedia ada yang telah dibangunkan selama puluhan tahun. Perusahaan ini mempunyai sesuatu yang tidak boleh dibina dengan cepat; pengalaman, pengetahuan, pekerja, pelanggan, pembekal, reputasi dan jaringan pasaran.
Sebab itu, pembangunan generasi pelapis dalam perusahaan keluarga perlu menjadi sebahagian daripada agenda tersebut. Lebih penting, generasi kedua tidak harus dilihat sekadar sebagai “penyambung” kepada generasi pertama. Mereka boleh menjadi agen pembaharuan.
Generasi baharu boleh membawa teknologi, automasi, pemasaran digital, penjenamaan, inovasi produk, penggunaan data dan saluran pasaran baharu. Apa yang dibina oleh generasi pertama boleh menjadi asas kepada pertumbuhan baharu di tangan generasi berikutnya.
Namun, menjadi anak kepada pengasas tidak secara automatik menjadikan seseorang pengganti yang bersedia. Minat perlu dibentuk. Pengetahuan perlu dipindahkan. Pengalaman perlu diberikan. Kepercayaan perlu dibina.
Generasi pelapis perlu diberi ruang untuk terlibat dalam operasi, berhadapan dengan masalah sebenar dan membuat keputusan sebelum tanggungjawab sepenuhnya diserahkan kepada mereka.
Pengasas pula perlu bersedia memindahkan bukan sahaja pemilikan, tetapi juga pengetahuan,jaringan, tanggungjawab dan secara berperingkat kuasa membuat keputusan. Semua ini memerlukan masa.
Sebab itu, perancangan pewarisan yang bermula hanya apabila pengasas jatuh sakit atau tidak lagi mampu menguruskan perusahaan sebenarnya sudah terlalu lewat.
Jangan Bina Baharu Sambil Kehilangan yang Sedia Ada
Agenda jaminan makanan negara perlu memberikan perhatian lebih besar kepada kelangsungan antara generasi dalam agribisnes, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Kita perlu terus melahirkan agropreneur baharu. Tetapi pada masa yang sama, jangan sampai kita terlalu sibuk membina perusahaan baharu sehingga perusahaan yang telah bertahan selama puluhan tahun hilang kerana tiada generasi yang bersedia mengambil alih.
Program pembangunan agropreneur juga boleh diperluas kepada perusahaan keluarga yang sedang melalui peralihan generasi. Sokongan boleh merangkumi pembangunan kepimpinan, pemindahan pengetahuan, pendigitalan, inovasi, perancangan kesinambungan perniagaan dan pembangunan pasaran.
Jika generasi pelapis benar-benar bersedia, yang kita pertahankan bukan hanya sebuah perniagaan keluarga.
Kita mempertahankan pengetahuan yang terkumpul selama bertahun-tahun, pekerjaan yang diwujudkan, hubungan dengan pembekal dan pelanggan, kapasiti pengeluaran serta peluang untuk perusahaan tersebut terus berkembang.
Contoh syarikat seperti dinyatakan diatas memberikan satu gambaran kecil tentang kemungkinan itu. Generasi seterusnya tidak semestinya hanya menjaga apa yang diwariskan. Mereka boleh membina sesuatu yang baharu di atas asas yang telah dibangunkan oleh generasi sebelumnya.
Inilah sebabnya pewarisan agribisnes perlu dilihat secara lebih strategik.
Jaminan makanan bukan sekadar persoalan berapa banyak makanan yang mampu kita hasilkan hari ini. Ia juga mengenai sama ada kita mempunyai perusahaan dan generasi pelapis yang mampu terus menghasilkannya pada masa hadapan.
Jangan sampai apabila satu generasi pengusaha tani berundur, kapasiti yang dibina selama puluhan tahun turut berhenti bersama mereka.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr. Nadiah Mahmad Nasir
Pensyarah Kanan (Pengurusan Strategik, Keusahawanan)
Fakulti Perniagaan & Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
E-mel: nadiahnasir@unimap.edu.my