
KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Hubungan akrab Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dengan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al Khalifa membolehkan Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Formula 1 (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026.
- Perdana Menteri berharap kerjasama mengukuhkan persahabatan Malaysia dan Bahrain serta membuka peluang kolaborasi menguntungkan rakyat kedua-dua negara.
- Perdana Menteri mengiringi delegasi diraja Bahrain, termasuk Putera Mahkota, menyaksikan perlumbaan F1 di Malaysia 2026.
- Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026 menandakan kepulangan F1 ke Litar Sepang selepas sembilan tahun; perlumbaan terakhir 2017.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran Facebook menyifatkan pemilihan itu mencerminkan kepercayaan komuniti antarabangsa terhadap Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara kita sebagai rakan yang dihormati dan diyakini di persada dunia.
“Semoga kerjasama ini terus memperkukuh persahabatan Malaysia dan Bahrain, sekali gus membuka ruang kerjasama lebih luas yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” menurut hantaran itu.
Sebelum itu Perdana Menteri berkesempatan mengiringi Sultan Ibrahim untuk menyaksikan perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 bersama-sama Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa.
Beliau juga berkesempatan beramah mesra dengan tetamu diraja yang berangkat menyaksikan perlumbaan hari ini, antaranya Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah serta tetamu kehormat yang lain.
Grand Prix Gulf Air Bahrain 2026, yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober, menyaksikan kepulangan F1 ke Sepang selepas sembilan tahun, dengan perlumbaan terakhir di litar itu diadakan pada 2017.