
JERANTUT, 4 Oktober – Seorang warga emas terpaksa menanggung kerugian RM113,550 akibat diperdaya suspek yang menyamar sebagai pegawai penyiasat polis.
- Individu tidak dikenali mendakwa mangsa terlibat kes pengubahan wang haram.
- Mangsa cemas dan merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan anaknya.
- Antara 11 Sept hingga 3 Okt, mangsa membuat kira-kira 20 transaksi pengeluaran wang.
- Polis nasihat berhati-hati terhadap panggilan tidak dikenali; polis tidak akan meminta wang, nombor pin atau kata laluan.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Nor Azman Yusof berkata, lelaki berusia 69 tahun itu awalnya dihubungi individu tidak dikenali yang mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
“Mangsa yang terpedaya mula cemas, namun merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan anaknya.
“Dalam tempoh 11 September hingga 3 Oktober, mangsa telah membuat kira-kira 20 transaksi pengeluaran wang.
“Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya ditipu selepas perkara tersebut diketahui oleh anaknya, sebelum dibawa ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon daripada individu tidak dikenali dan tidak mudah terpedaya dengan dakwaan atau ugutan yang diberikan.
Orang ramai juga diingatkan bahawa pihak polis tidak akan meminta wang, nombor pin, kata laluan atau maklumat perbankan melalui panggilan telefon.