Arab Saudi-Houthi kembali berbalas serangan, Sanaa jadi sasaran

Foto AFP

SANAA, 4 Oktober – Kumpulan Houthi mendakwa Arab Saudi melancarkan 26 serangan udara ke atas Sanaa pada Sabtu, ketika pertempuran antara kedua-dua pihak semakin sengit sejak konflik tercetus semula pada Julai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Houthi dakwa serangan peluru berpandu terhadap rangkaian telekomunikasi di wilayah Saada, kubu kuat mereka.
  • Kebakaran dilaporkan di fasiliti Aramco selatan Riyadh; punca belum ditentukan dan pihak berkuasa belum beri kenyataan.
  • Pertempuran memuncak memburukkan krisis kemanusiaan; WFP amaran tiga perempat penduduk tidak mampu penuhi keperluan makanan asas.

Saluran televisyen yang mempunyai hubungan dengan Houthi, Al-Masirah, melaporkan pesawat milik Arab Saudi didakwa melancarkan serangan ke atas ibu negara Yaman itu.

Namun tidak memberikan butiran mengenai sasaran atau jumlah korban.

Dua wartawan di Sanaa melaporkan terdengar letupan kuat dan melihat pesawat melancarkan peluru berpandu ke arah bandar berkenaan.

Houthi turut mendakwa serangan peluru berpandu dilancarkan terhadap rangkaian telekomunikasi di wilayah Saada, barat laut Yaman, yang menjadi salah satu kubu kuat kumpulan itu.

Di Arab Saudi, api dan kepulan asap dilihat pada Sabtu petang dari sebuah fasiliti milik syarikat minyak milik kerajaan, Aramco, di selatan Riyadh, menurut wartawan AFP.

Bagaimanapun, punca kebakaran masih belum diketahui dan pihak berkuasa Arab Saudi serta Houthi belum mengeluarkan kenyataan mengenai insiden itu.

Houthi sebelum ini mendakwa melancarkan beberapa serangan terhadap fasiliti Aramco dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Perkembangan itu berlaku selepas Houthi pada Khamis mendakwa Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas Sanaa buat kali pertama sejak pertempuran antara kedua-dua pihak tercetus semula pada Julai.

Pertempuran itu tercetus selepas tempoh gencatan senjata rapuh selama empat tahun. Houthi yang disokong Iran menguasai sebahagian besar wilayah barat laut Yaman termasuk Sanaa.

Manakala kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa menguasai sebahagian besar wilayah selatan dan timur.

Sejak pertempuran kembali tercetus, Houthi melancarkan serangan terhadap beberapa sasaran di Arab Saudi, termasuk infrastruktur minyak dan Riyadh, selain mengumumkan sekatan terhadap perkapalan Arab Saudi di Laut Merah.

Pertempuran terbaharu itu turut memburukkan keadaan kemanusiaan di Yemen, dengan Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bahawa tiga perempat penduduk negara itu tidak mampu memenuhi keperluan makanan asas.

Pertempuran dalam beberapa hari kebelakangan ini tertumpu di Taiz, dengan puluhan anggota daripada kedua-dua pihak dilaporkan terbunuh.

Houthi mendakwa 55 anggota mereka terbunuh, manakala sumber kerajaan Yemen memberitahu AFP bahawa 26 anggota tentera maut.

Houthi turut mendakwa Arab Saudi melancarkan 94 serangan terhadap kawasan di bawah kawalannya dalam tempoh 24 jam sebelum Jumaat.

Sementara itu, pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan sebuah peluru berpandu yang dilancarkan Houthi merosakkan sebuah sekolah di Najran, berhampiran sempadan Yaman. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.