
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Jasa dan didikan seorang guru terus dikenang Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, apabila beliau menziarahi bekas gurunya yang juga pesara kerajaan menerusi Program Santuni Pesara, hari ini.
- Bekas guru dikenang sebagai pembentuk karakter dan asas kejayaan dalam perjalanan hidup serta kerjaya.
- Menunjukkan penghargaan peribadi terhadap guru yang banyak memberi dan membentuk diri.
- Guru bersyukur dan gembira dikenang; kenangan kekal walaupun wajah berubah, hampir keseluruhan pelajar berjaya.
- Program Santuni Pesara JPA menghargai pesara; kerajaan memberi perhatian kebajikan, pencen, dan mengenang sumbangan mereka.
Lebih bermakna, Nik Azian @ Nik Mek Wan Hamzah merupakan guru Wan Ahmad Dahlan ketika beliau berada di Tingkatan Lima di Sultan Ismail College, Kota Bharu, Kelantan.
Menurut Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan, kunjungan itu menjadi kesempatan untuk menzahirkan penghargaan kepada insan yang banyak membentuk karakter dan perjalanan hidup serta kerjayanya.
“Alhamdulillah, pada hari ini saya diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk menzahirkan rasa terima kasih dan penghormatan kepada insan yang telah banyak memberi serta membentuk karakter saya sehingga saya berada pada kedudukan hari ini sebagai pimpinan dalam perkhidmatan awam Malaysia.
“Jasa dan didikan beliau merupakan antara sebahagian daripada asas yang membentuk diri saya dalam menempuh perjalanan kehidupan dan kerjaya,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Santuni Pesara di sini, hari ini.
Sementara itu, Nik Azian @ Nik Mek Wan Hamzah meluahkan rasa syukur dan gembira menerima kunjungan bekas anak didiknya selepas puluhan tahun.
Beliau berkata, kenangan terhadap anak didiknya kekal meskipun masing-masing melalui perjalanan kehidupan dan kerjaya yang berbeza.
“Syukur banyak-banyak, alhamdulillah kerana masih mengingati saya. Walaupun apabila melihat gambar, mungkin wajah sudah banyak berubah berbanding dahulu, namun alhamdulillah, kenangan itu masih kekal.
“Saya juga bersyukur kerana boleh dikatakan hampir keseluruhan pelajar yang pernah saya didik telah berjaya dalam kehidupan dan kerjaya masing-masing,” katanya.
Program Santuni Pesara JPA terus dilaksanakan dari semasa ke semasa sebagai wadah menghargai jasa dan sumbangan pesara yang telah berbakti kepada negara.
Kerajaan turut memberi perhatian terhadap kebajikan pesara, termasuk memastikan mereka menikmati kehidupan yang sewajarnya dari aspek pencen dan kebajikan.
Jasa dan sumbangan para pesara akan terus dikenang sebagai sebahagian daripada khidmat bakti kepada pembangunan negara.