
SEPANG, 2 Oktober – Kehangatan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bukan sahaja menarik puluhan ribu peminat sukan permotoran, malah memberi peluang kepada vendor tempatan meningkatkan jualan dan memperkenalkan produk kepada pengunjung antarabangsa.
- Penyertaan F1 beri KOPIHUT peluang perkenal jenama dan makanan tempatan kepada pelanggan antarabangsa.
- Born Neo Cendol laris; stok tiga hari habis pada hari pertama dan terpaksa diisi semula berterusan.
- Peniaga sasarkan jualan besar: KOPIHUT RM7-8k sehari, Born Neo Cendol lebih RM100k, Nasi Lemak Saleha RM200k tiga hari.
- Penganjuran F1 menghidupkan semula aktiviti perlumbaan dan membuka ruang pasar lebih luas untuk produk Malaysia.
Pelbagai produk termasuk makanan, minuman ditawarkan sepanjang tiga hari perlumbaan, dengan sebahagian peniaga membuat persiapan awal termasuk menambah stok bagi memenuhi permintaan pengunjung.
Bagi KOPIHUT, penyertaan pada F1 Sepang merupakan pengalaman pertama mereka dalam acara berskala besar itu, selain menjadi platform untuk memperkenalkan jenama dan produk makanan tempatan kepada pelanggan dari luar negara.
Pengurus KOPIHUT, Farah Fizza berkata, pihaknya menyasarkan jualan antara RM7,000 hingga RM8,000 sehari sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.
“Kita first time juga masuk event macam ni. Event ni besar sebab kita masuk dekat F1 Sepang. Kita lebih kepada memperkenalkan brand kita dan pada masa sama nak bagi tahu yang makanan kita juga sesuai untuk warga luar Malaysia.
“Setakat ini Alhamdulillah. Daripada pagi tadi memang non-stop, memang beratur” katanya.
Sementara itu, Born Neo Cendol turut menerima sambutan di luar jangkaan apabila sebahagian besar stok yang dibawa untuk tempoh tiga hari habis pada hari pertama.
Pengurus pemasaran Born Neo Cendol, Nor Azlina Ibrahim berkata, pihaknya terpaksa menambah bekalan secara berterusan bagi memenuhi permintaan pengunjung.
“Sebenarnya kita tidak jangka pengunjung memang begitu ramai. Jadi, kita pun risau sama ada kita akan capai sasaran, tetapi kemudian kita sudah mengisi semula banyak sangat stok. Habis juga dan kita tetap tambah dan tambah walaupun pada hari pertama.
“Setakat ini kita dah habiskan kesemua stok. Jadi, kita perlu mengisi lagi, insya-Allah,” katanya.
Katanya, pengunjung asing juga perlu diberikan penerangan mengenai bahan yang digunakan sebelum mencuba makanan tradisional berkenaan, termasuk penggunaan santan dan gula apong dari Sarawak.
Borneo Neo Cendol menyasarkan jualan melebihi RM100,000 sepanjang tiga hari penganjuran F1 berkenaan.
Bagi Nasi Lemak Saleha pula, penyertaan dalam acara berkenaan menjadi peluang untuk memperkenalkan hidangan tempatan kepada pengunjung antarabangsa, selain memperluas pasaran perniagaan keluarga yang sudah beroperasi hampir 16 tahun.
Anak pemilik Nasi Lemak Saleha, Intan Isa berkata, pihaknya menyasarkan jualan sekitar RM200,000 sepanjang tiga hari acara.
“Kita punya sasaran nak bagi orang-orang pengunjung antarabangsa dan tempatan rasa nasi lemak, makanan orang Malaysia. Kita target tiga hari dalam RM200,000.
“Alhamdulillah hari ini seronok juga, kita dah capai sasaran. Kita dah supply banyak, dalam 100 kilogram ayam hari ini, Alhamdulillah,” katanya.
Intan turut menyifatkan peluang menyertai acara antarabangsa seperti F1 sebagai pengalaman membanggakan buat perniagaan keluarganya.
“Sebenarnya bukan senang untuk kita sertai acara seperti ini. Jadi, saya rasa bangga juga kita dapat sertai dalam F1,” katanya.
Penganjuran F1 di Sepang sekali gus bukan sahaja menghidupkan kembali kemeriahan perlumbaan bertaraf dunia di litar ikonik negara, malah membuka ruang kepada pemain industri tempatan menjana pendapatan serta memperkenalkan produk Malaysia kepada pasaran lebih luas.