
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Perkhidmatan penumpang Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dijangka mula beroperasi pada Februari 2027, selepas semua ujian sistem dan operasi percubaan disasarkan selesai menjelang 31 Disember ini.
- RTS Link menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dengan Woodlands North, memperkukuh kesalinghubungan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.
- Sistem dijangka mengendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam setiap arah pada waktu puncak; perjalanan antara stesen dianggarkan sekitar lima minit.
- RTSO menekankan matlamat perkhidmatan selamat dan boleh dipercayai; projek memudahkan perjalanan harian serta memberi manfaat ekonomi dan sosial.
RTS Operations Pte Ltd (RTSO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan garis masa itu mengambil kira kerja-kerja berbaki, proses pensijilan keselamatan oleh pihak ketiga serta kelulusan pihak berkuasa kedua-dua negara.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan perkhidmatan RTS Link yang selamat dan boleh dipercayai,” menurut kenyataan itu.
RTS Link menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura, sekali gus memperkukuh kesalinghubungan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
“Apabila beroperasi sepenuhnya, sistem itu dijangka mampu mengendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap arah pada waktu puncak, dengan perjalanan antara kedua-dua stesen dianggarkan hanya sekitar lima minit,” menurut kenyataan itu.
RTSO berkata, projek berkenaan dijangka memudahkan perjalanan harian antara Johor Bahru dan Singapura, selain memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada rakyat kedua-dua negara.