Skuasy wanita kekal juara

Aira Azman

NAGOYA, 2 Oktober – Menggalas tugas sebagai penentu kemenangan buat kali pertama, Aira Azman berjaya mengatasi rasa gugup untuk membantu pasukan skuasy wanita negara mempertahankan pingat emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aira Azman menewaskan Lee Ka Yi 11-9, 11-5, 11-4 untuk memastikan Malaysia atasi Hong Kong 2-1 dalam final.
  • Kemenangan mengekalkan pingat emas Hangzhou 2022 dan menghadiahkan emas ketujuh untuk kontinjen Malaysia, melepasi sasaran enam emas.
  • Pasukan kukuh kerana keserasian hasil pengalaman beraksi bersama dalam Sukan SEA dan acara beregu.

Pemain berusia 22 tahun itu mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan Lee Ka Yi 11-9, 11-5, 11-4 dalam perlawanan ketiga untuk memastikan Malaysia menundukkan Hong Kong 2-1 pada aksi final di Arena Nagoya Kinjo Futo.

Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi Hangzhou 2022, sekali gus menghadiahkan pingat emas ketujuh buat kontinjen Malaysia pada temasya kali ini, melepasi sasaran enam emas.

Beliau mengakui sedikit gementar apabila turun sebagai pemain penentu selepas kedudukan terikat 1-1, namun keyakinan terhadap persediaan dan pengalaman bertemu pemain Hong Kong membantunya kekal tenang.

“Ini kali pertama saya menjadi pemain penentu dan sejujurnya saya agak gementar. Tetapi saya tahu saya sudah berlatih keras untuk perlawanan ini. Kami juga sudah beberapa kali bertemu pemain Hong Kong tahun ini, jadi saya bersedia dan hanya perlu fokus untuk bermain,” katanya.

Sementara itu, Aira turut menegaskan kekuatan pasukan terletak pada keserasian yang dibina menerusi pengalaman beraksi bersama dalam beberapa kejohanan, termasuk Sukan SEA dan acara beregu.

“Kami sudah beberapa kali bersama sebagai satu pasukan, termasuk Sukan SEA dan acara beregu. Kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan permainan dan ia jelas dapat dilihat hari ini. Kami sangat gembira kerana berjaya mempertahankan gelaran, ” katanya lagi.

Terdahulu, Aifa Azman memberikan kelebihan awal kepada Malaysia selepas menewaskan Ho Tze Lok 11-9, 11-9, 12-10 sebelum Sivasangari tewas kepada Chan Sin Yuk 7-11, 11-9, 11-9, 5-11, 7-11, sekali gus mengheret perlawanan kepada aksi penentuan.

Skuasy sebelum ini turut menyumbang emas dalam acara perseorangan lelaki dan wanita menerusi Ng Eain Yow dan Sivasangari.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.