
KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Yinson GreenTech (YGT) menerusi perniagaan elektrifikasi marin, marinEV, bekerjasama dengan Langkawi Port Sdn Bhd (LPSB) bagi membangunkan Projek Feri Elektrik Langkawi, yang bakal menyediakan perkhidmatan feri penumpang elektrik pertama di Malaysia.
- Pengoperasian feri elektrik bagi laluan Kuah ke Kuala Perlis, disertai pembangunan infrastruktur pengecasan darat dan teknologi marin bersepadu.
- YGT akan menyediakan kapal melalui pengaturan sewaan; LPSB mengendalikan operasi; TNB membangunkan bekalan kuasa dan pengecasan.
- Projek dimandatkan sebagai Projek Keutamaan Nasional dan disokong kementerian; menyokong penyahkarbonan maritim, komuniti tempatan dan pelancongan.
Projek itu melibatkan pengoperasian feri elektrik bagi laluan Kuah, Langkawi-Kuala Perlis, disokong pembangunan infrastruktur pengecasan di darat serta teknologi marin bersepadu.
Menerusi kerjasama berkenaan, YGT akan menyediakan kapal menerusi pengaturan sewaan, manakala LPSB bertanggungjawab mengendalikan perkhidmatan berkenaan.
Tenaga Nasional Bhd (TNB) pula akan membangunkan infrastruktur bekalan kuasa dan pengecasan bagi menyokong operasi feri elektrik itu.
Menurut kenyataan bersama, projek berkenaan telah dimandatkan sebagai Projek Keutamaan Nasional dan mendapat sokongan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan serta Jabatan Laut Malaysia.
“Perkhidmatan itu akan melengkapi hubungan pengangkutan sedia ada, selain menyokong usaha peralihan tenaga dan penyahkarbonan sektor maritim negara,” kata kenyataan itu.
Pengurus Besar LPSB, Muhd Nasir Abdul Aziz berkata, kerjasama itu bukan sahaja mewujudkan ketersambungan maritim yang lebih bersih, malah menyokong komuniti tempatan serta sektor pelancongan.
Sementara itu, Pengarah Urusan marinEV, Jan-Viggo Johansen berkata, pengalaman syarikat membangunkan dan mengendalikan kapal elektrik di Singapura akan dimanfaatkan bagi membangunkan penyelesaian pengangkutan penumpang yang boleh beroperasi secara komersial di Malaysia.
Terdahulu, pemetraian Memorandum Persefahaman (MoU) disaksikan oleh Menteri Kewangan II merangkap Pengerusi Bersama LADA, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.