Akta 869 serta pindaan berkaitan Perlembagaan berkuat kuasa mulai hari ini

Penguatkuasaan mewujudkan perkhidmatan khusus bagi Parlimen mengurus pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwal sendiri/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) serta pindaan berkaitan Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa hari ini, menandakan satu lagi langkah dalam agenda reformasi institusi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menubuhkan perkhidmatan khusus Parlimen untuk mengurus pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwal sendiri.
  • Pencapaian signifikan bagi agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI.
  • Memperkukuh kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen.
  • Mengukuhkan autonomi Parlimen dan prinsip pengasingan kuasa serta semak dan imbang antara cabang kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan memaklumkan, penguatkuasaan akta itu mewujudkan satu perkhidmatan khusus bagi Parlimen mengurus pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya sendiri.

“Kerajaan MADANI merafak sembah menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas perkenan menetapkan 1 Oktober 2026 sebagai tarikh kuat kuasa Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] serta pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Penguatkuasaan akta itu merupakan antara pencapaian signifikan agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI dan detik bersejarah bagi Parlimen Malaysia setelah Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 394]dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] berkuat kuasa pada 20 November 1992.

“Ia sekali gus memperkukuh kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen negara,”katanya.

Jelas Datuk Seri Azalina lagi, reformasi itu turut mencerminkan komitmen kerajaan kepada prinsip pengasingan kuasa serta sistem semak dan imbang antara cabang perundangan, eksekutif serta kehakiman.

Katanya lagi, autonomi institusi yang lebih kukuh membolehkan Parlimen melaksanakan fungsi perlembagaan serta tanggungjawabnya kepada rakyat dengan lebih bebas, berkesan dan berwibawa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.