Sarjan Mejar didakwa terima suapan beri maklumat mengenai operasi, serbuan polis

Anggota polis Roslee Mamat (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini/Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 30 September – Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat tuduhan menerima suapan keseluruhan bernilai RM2,400 sebagai balasan memberikan maklumat berkaitan operasi atau serbuan pihak polis kepada seorang individu, empat tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Roslee Mamat, 43, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
  • Didakwa menerima suapan antara RM1,000 hingga RM400 untuk memberi maklumat awal mengenai operasi atau serbuan polis.
  • Tindakan didakwa berlaku di cawangan bank Shah Alam dan Masjid Gong Terap, Setiu pada Oktober dan Disember 2022.
  • Dijamin RM6,000, dilarang miliki pasport, dilarang hubungi saksi dan perlu lapor SPRM setiap bulan; sebutan semula 27 Okt.

Roslee Mamat, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai anggota polis berpangkat Sarjan Mejar di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu menerima suapan bernilai antara RM1,000 hingga RM400 daripada seorang individu.

Ia adalah sebagai dorongan untuknya memberikan perlindungan dengan memberikan maklumat lebih awal kepada individu tersebut, sekiranya ada operasi atau serbuan yang akan dilakukan polis sebagai langkah berjaga-jaga atau melarikan diri bagi mengelakkan daripada ditangkap.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan di sebuah cawangan bank di Shah Alam, Selangor dan Masjid Gong Terap di Setiu pada Oktober dan Disember 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim membenarkan bapa kepada lima anak itu diikat jamin RM6,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Roslee tidak dibenarkan untuk memiliki pasport antarabangsa sehingga kes selesai, dan tidak boleh berkomunikasi dengan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan.

Kes disebut semula pada 27 Okt untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Amalina Najwa Mohd Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.