
LIVERPOOL, 29 September – United Kingdom (UK) mengaktifkan kembali skim penempatan semula pelarian sebagai sebahagian usaha memperluas laluan migrasi yang selamat dan sah bagi golongan rentan memasuki negara itu.
- Ratusan pemohon dijangka diterima awal, kira-kira satu perempatnya wanita dan kanak-kanak perempuan Afghanistan serta rakyat Palestin.
- Skim dilaksanakan bersama UNHCR dan IRAP; badan kebajikan boleh memohon jadi penaja, ketibaan melalui tajaan komuniti dijangka sekitar setahun.
- Kerajaan mahu imbangkan tanggungjawab kemanusiaan dengan kawalan kemasukan; cadangan perubahan dasar migrasi menimbulkan kebimbangan pemimpin Parti Buruh.
Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood berkata, pada peringkat awal, ratusan pemohon dijangka diterima dengan kira-kira satu perempat daripadanya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak perempuan Afghanistan serta rakyat Palestin.
“Kami akan menerima pelarian rentan dari seluruh dunia dan memberi mereka peluang untuk memulakan kehidupan baharu dan lebih baik di sini, dengan ketibaan pertama dijangka tahun ini,” katanya ketika berucap pada persidangan tahunan Parti Buruh, di sini.
Jelasnya lagi, skim itu akan dilaksana dengan kerjasama Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dan International Refugee Assistance Project (IRAP).
Dalam tempoh beberapa hari, badan kebajikan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan akan dibenarkan memohon untuk menjadi penaja kepada pelarian, manakala ketibaan pertama menerusi laluan tajaan komuniti dijangka dalam tempoh kira-kira setahun.
Jumlah ketibaan melalui program sah itu dijangka meningkat kepada beberapa ribu pada peringkat seterusnya, dengan had tahunan akan ditetapkan.
Shabana berkata, dasar itu perlu mengimbangi tanggungjawab kemanusiaan dengan keperluan memastikan kemasukan pelarian kekal terkawal.
“Saya tahu rakyat Britain masih percaya bahawa kita perlu berbelas ihsan, menunaikan tanggungjawab antarabangsa dan menyelamatkan nyawa mereka yang melarikan diri daripada peperangan dan penganiayaan.
“Tetapi saya juga tahu proses ini mesti mempunyai had dan dikawal, dengan komuniti bersedia dan mampu menerima mereka yang datang ke sini,” katanya.
Pengumuman itu dibuat ketika kerajaan turut merancang beberapa perubahan terhadap dasar migrasi sah, termasuk cadangan memanjangkan tempoh menunggu sebelum sesetengah migran boleh memohon untuk menetap secara kekal di UK.
Cadangan berkenaan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan sesetengah pemimpin Parti Buruh, termasuk Menteri Perumahan, Angela Rayner, yang menyifatkannya sebagai perubahan terhadap syarat sedia ada. – AFP