
BANGI, 21 November – Pembaharuan dalam aspek tadbir urus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pengurusan institusi itu kekal telus dan berakauntabiliti.
- Langkah pembaharuan penting bagi memulihkan serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap UKM.
- Setiap keputusan dan urusan pentadbiran perlu berlandaskan integriti, ketelusan dan akauntabiliti.
- Ketelusan, akauntabiliti serta semak dan imbang mesti seiring dengan kecekapan untuk mengekalkan kepercayaan awam.
- Lembaga Pengarah dan pengurusan telah melaksanakan langkah pembaharuan susulan kemelut bagi memperkukuh kedudukan UKM.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertitah langkah berkenaan penting bagi memulihkan serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap universiti berkenaan.
Baginda yang juga Canselor UKM bertitah, setiap keputusan dan urusan pentadbiran universiti perlu berlandaskan prinsip integriti, ketelusan serta akauntabiliti.
“Ketelusan, akauntabiliti serta semak dan imbang perlu berjalan seiring dengan kecekapan. dengan amalan inilah, kepercayaan masyarakat terhadap ukm dapat diperkukuh,” titah Baginda pada Majlis Konvokesyen UKM ke-54 di sini.
Seramai lebih 14,000 graduan menerima ijazah pada konvokesyen kali ini.
Ini termasuk jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan sukan negara.
Sembilan tokoh akademik UKM menerima gelaran Profesor Emeritus, manakala dua graduan menerima Anugerah Pelajaran Diraja.
Dalam perkembangan berkaitan, Tuanku Muhriz bertitah, Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan UKM telah mengambil beberapa langkah pembaharuan susulan kemelut yang berlaku di universiti itu pada tahun lalu dan tahun sebelumnya.
Baginda berharap segala penambahbaikan yang dilaksanakan dapat memastikan UKM terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi yang diyakini masyarakat.