Potensi kerjasama PIF-MRCB bukti keyakinan pelabur terhadap keupayaan Malaysia

RUA kini sedang meneroka kerjasama dengan MRCB bagi pembangunan berorientasikan transit di kawasan Jabal Al Kaabah, Mekah. / Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 29 September – Potensi kerjasama antara syarikat milik penuh Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi, RUA AlHaram AlMakki dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Anwar berkata kerjasama membuka peluang perniagaan serta memperluas tenaga mahir negara.
  • RUA meneroka kerjasama dengan MRCB untuk pembangunan berorientasikan transit di Jabal Al Kaabah, Mekah.
  • RUA ialah pemaju induk bagi pembangunan King Salman Gate di kota suci Mekah.
  • Pertemuan membincangkan pengukuhan kerjasama Malaysia-Arab Saudi dalam pembinaan, infrastruktur, pengurusan kemudahan, tenaga dan ekonomi halal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara tersebut bakal membuka peluang kepada perniagaan serta tenaga mahir negara.

Jelasnya, RUA kini sedang meneroka kerjasama dengan MRCB bagi pembangunan berorientasikan transit di kawasan Jabal Al Kaabah, Mekah.

RUA merupakan pemaju induk bagi pembangunan King Salman Gate di kota suci berkenaan.

“PIF merupakan antara dana kekayaan berdaulat terbesar di dunia, dengan aset di bawah pengurusan melebihi US$900 bilion.

“Peranannya sebagai pemacu Wawasan 2030 Arab Saudi turut membuka ruang kerjasama yang luas dengan rakan antarabangsa,” katanya menerusi hantaran Facebook, semalam.

Jelas Datuk Seri Anwar lagi, perkara itu antara yang dibincangkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Gabenor PIF, Yasir Othman Al-Rumayyan bersama delegasinya, di sini.

Pertemuan itu turut menyentuh peluang memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia-Arab Saudi khususnya dalam sektor pembinaan, infrastruktur, pengurusan kemudahan, tenaga dan ekonomi halal.

“Saya berharap lebih banyak syarikat Malaysia dapat menembusi pasaran serta memperluas kerjasama di Arab Saudi dan mengambil bahagian dalam projek yang membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.