
SUNGAI BUAYA, 28 September – Kampung Sungai Buaya dinaik taraf menerusi Projek Kampung Angkat MADANI di bawah Kementerian Komunikasi yang kini mencapai tahap kemajuan 70 peratus.
- Isu pampasan tanah diselesaikan melalui kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Negeri, memberi pampasan kepada bekas peneroka dan waris.
- Projek menaik taraf kemudahan kampung, membaik pulih dewan, pendawaian, tandas serta menyediakan ruang rekreasi seperti gelanggang futsal.
- Kementerian Komunikasi melalui NADI dan program pemerkasaan digital memberi sokongan kepada komuniti termasuk golongan muda dan warga emas.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata, projek berkenaan dilaksanakan selepas isu pampasan tanah selama lebih tiga dekad di kawasan berkenaan, berjaya diselesaikan hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Selangor.
“Inilah peluang untuk memperkasa semula bukan sahaja penduduk kampung tetapi dalam berdepan cabaran akan datang. Justeru itu, jentera Kementerian Komunikasi berusaha memperkasa komuniti di kawasaan berkenaan termasuk golongan muda dan warga emas.
“Antaranya inisiatif yang giat dilaksanakan ialah menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), pemerkasaan digital dan bantuan lain. Saya melihat ada perkembangan sangat positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan kerja Projek Kampung Angkat MADANI 2026 di Kampung Sungai Buaya di sini hari ini.
Projek bernilai RM500,000 dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan November 2026.

Sementara itu, Ketua Kampung merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Buaya, Mohd Fauzul Aidil Mohd Roseli berkata, kemudahan yang dibangunkan menerusi projek berkenaan memenuhi keperluan penduduk yang sebelum ini terhad.
“Sebelum ini, banyak aduan mengenai dewan ini seperti isu pendawaian, tandas dan sebagainya. Penduduk pun tiada kawasan untuk bermain futsal dan menjalankan program.
“Jadi bila kita melaksanakan projek ini termasuk penambahbaikan kemudahan, ia memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.
Isu pampasan tanah di Kampung Sungai Buaya berjaya diselesaikan dengan seramai 363 bekas peneroka Kampung Sungai Buaya dan waris mereka, menerima baki pampasan berjumlah RM74.2 juta pada September 2025.
Jumlah keseluruhan pampasan RM375 juta, dibayar secara berperingkat kepada warga peneroka berkenaan sejak 1994.