Stesen TV Tigrai diserang dron

Gambar menunjukkan bahagian hadapan bangunan Tigrai TV mengalami kerosakan teruk dengan kesan terbakar serta cermin tingkap yang pecah akibat impak letupan/Foto AFP

MEKELE, 28 September – Bangunan stesen televisyen awam di Tigray, utara Ethiopia, dilaporkan musnah akibat serangan dron pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ibu pejabat Tigrai TV diserang dron kira-kira pukul 6 pagi; wartawan melarikan diri sebelum bangunan dibom dan musnah.
  • Serangan berlaku ketika pertempuran antara tentera wilayah dan kerajaan persekutuan semakin memuncak.
  • Stesen terputus siaran dan sekitar 400 pekerja terjejas selepas serangan.
  • Kebimbangan timbul tentang kebangkitan semula perang saudara sebesar 2020 hingga 2022, yang mengorbankan dianggarkan 600,000 nyawa.

Insiden berlaku ketika pertempuran antara tentera rantau itu dan kerajaan semakin memuncak.

Ibu pejabat Tigrai TV, yang menjadi saluran komunikasi utama pihak berkuasa pemberontak diserang dron kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan.

“Kami terdengar bunyi letupan kuat daripada serangan dron di kawasan lain dan terus melarikan diri keluar dari bangunan,” kata seorang wartawan stesen berkenaan kepada AFP.

“Sejurus selepas kami keluar, bangunan itu dibom dan musnah sepenuhnya,” katanya lagi.

Seorang lagi wartawan mengesahkan stesen yang mempunyai kira-kira 400 pekerja itu telah terputus siaran selepas serangan berlaku.

Bagaimanapun setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kecederaan diterima.

Pertempuran yang kembali meletus minggu ini antara Front Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) dan kerajaan persekutuan mencetuskan kebimbangan berulangnya perang saudara berskala penuh seperti yang berlaku pada tahun 2020 hingga 2022.

Ketika itu dianggarkan 600,000 nyawa terkorban.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.