
SEGAMAT, 27 September – Seramai 408 pegawai perintis Agensi Kawalan dan Penguatkuasaan Sempadan (AKPS), menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis Segamat, Johor dan bersedia ditugaskan di Pintu Masuk Utama Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru – Singapura, pada 1 Oktober ini.
- Latihan asas pegawai dilaksanakan secara bersepadu dengan agensi berkaitan, memberi pendedahan menyeluruh terhadap ekosistem kawalan dan perlindungan sempadan.
- AKPS menekankan penggunaan teknologi untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta memastikan pematuhan syarat kemasukan dan pengeluaran barangan.
- Cadangan membuka tawaran kepada bukan agensi teras dan umum bagi mencapai sasaran penjawatan AKPS.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pegawai terdiri daripada 39 Penolong Penguasa Sempadan Gred KS5 dan 369 Pembantu Penguasa Sempadan Gred KS1.
Kesemua pegawai tamat latihan selepas menjalani latihan selama tiga bulan.
Latihan asas pegawai AKPS dilaksanakan secara bersepadu, melibatkan kepakaran agensi berkaitan, bagi memberi pendedahan menyeluruh terhadap ekosistem kawalan dan perlindungan sempadan negara.
“Latihan kita berikan kepada mereka, adalah latihan latihan bagaimana menggunakan teknologi itu supaya ianya lebih efektif. Apabila kerja kerja asas itu, boleh diambil oleh teknologi, maka kita akan menerapkan latihan latihan penguatkuasaan lain, contohnya memastikan barangan dibawa masuk, dibawa keluar itu, mematuhi syarat kemasukan barang”, katanya.
Selain itu, pihaknya menggariskan beberapa cadangan dan alternatif bagi mencapai sasaran 13,721 penjawatan AKPS, antaranya membuka tawaran kepada bukan agensi teras dan kepada umum.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Segamat.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohd Shuhaily memberitahu, perkembangan AKPS dalam tempoh 23 bulan, adalah antara terpantas, berbanding negara-negara maju lain yang memerlukan tempoh sehingga satu dekad untuk menstabilkan agensi itu.