
PAPAR, 27 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memohon pertimbangan Kementerian Kewangan (MoF) untuk tambahan peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bagi 2027, susulan peningkatan ketara sambutan rakyat terhadap program itu.
- PJRM merekodkan lebih 81.45 juta transaksi dari Jan 2023 hingga 23 Sept 2026, menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun.
- Program menawarkan barangan 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat, membantu rakyat menangani kos sara hidup.
- Peruntukan Payung Rahmah meningkat daripada RM300 juta pada 2024 kepada RM600 juta tahun ini; KPDN memohon pertimbangan tambah untuk 2027.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata PJRM merekodkan lebih 81.45 juta transaksi bagi tempoh Januari 2023 hingga 23 September 2026 dan jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun.
Transaksi PJRM meningkat daripada 9.2 juta pada 2023 kepada 12.8 juta pada 2024 dan 27.5 juta pada 2025.
Beliau berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 23 September tahun ini, sebanyak 31.8 juta transaksi PJRM direkodkan di seluruh negara.
“Jadi melihat bahawa ia adalah satu respon yang amat baik daripada rakyat, maka kita mengharapkan dan juga memohon kepada Kementerian Kewangan khususnya supaya peruntukan dapat dipertimbangkan dan ditambah untuk tahun 2027.
“… kerana ini merupakan satu program inisiatif, kuasa rakyat hidup yang secara langsung sampai kepada rakyat, dan rakyat kita boleh untuk memanfaatkan subsidi itu secara bersasar”, katanya dalam sidang media di Papar.
Datuk Armizan berkata, peningkatan itu menunjukkan PJRM terus mendapat sambutan sebagai antara intervensi kerajaan membantu rakyat menangani kos sara hidup, dengan menawarkan barangan antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.
Sementara itu, peruntukan di bawah agenda Payung Rahmah meningkat daripada RM300 juta pada 2024 kepada RM600 juta tahun ini, termasuk komponen PJRM.
KPDN berharap agar tambahan peruntukan bagi 2027 dapat dipertimbang bagi membolehkan kekerapan pelaksanaan program serta mekanisme jualan diperluas, khususnya ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup.