
KUALA LUMPUR, 26 September – Sebanyak RM240.3 juta nilai jualan industri kraf negara direkodkan hingga Julai lalu.
- MIHF 2026 menghubungkan pengusaha tempatan dengan pembeli, pasaran dan rakan industri antarabangsa.
- Ruang besar untuk mengembangkan kraf Malaysia ke pasaran dunia sebagai cerita, kreativiti dan identiti negara.
- Sasaran menjadikan kraf sebagai cenderamata pengalaman pelawat selari Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan 2027.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chiew Choon Man berkata daripada jumlah itu, RM230.3 juta atau 96 peratus disumbangkan oleh pasaran domestik, manakala RM10 juta atau empat peratus daripada pasaran antarabangsa.
“Angka itu sekali gus membuktikan pasaran domestik negara terus kukuh,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan ruang untuk membawa kraf Malaysia lebih jauh ke pasaran dunia masih sangat luas.
“Selari dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027, kita mahu kraf Malaysia menjadi sebahagian daripada pengalaman yang dibawa pulang oleh setiap pengunjung ke negara ini.
“Apabila hasil kraf Malaysia dibawa ke luar negara, yang dibawa bukan sekadar produk, tetapi cerita, kreativiti dan identiti Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Kraf Antarabangsa Malaysia (MICF) 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata, MICF 2026 memainkan peranan strategik dengan menghubungkan pengusaha tempatan kepada pembeli, pasaran dan rakan industri antarabangsa.
MICF 2026 kini berlangsung hingga 5 Oktober nanti dari 10 pagi hingga 10 malam di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.