
SHAH ALAM, 25 September – Agenda kebajikan rakyat dijangka terus menjadi antara tumpuan utama Belanjawan Selangor 2027 yang akan dibentangkan November ini.
- Kerajaan negeri memperhalusi pendekatan kebajikan: bantuan kewangan, peningkatan kemahiran, pembangunan infrastruktur.
- Tumpuan kepada golongan rentan, khususnya warga emas dan golongan muda, untuk perhatian selaras cabaran demografi.
- Perlu sokongan bersasar dan penyelesaian lebih kekal menghadapi peningkatan warga emas serta kadar kelahiran meningkat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri sedang memperhalusi beberapa pendekatan bagi memperkukuh kebajikan rakyat, termasuk bantuan kewangan, peningkatan kemahiran dan pembangunan infrastruktur.
Menurut beliau, tumpuan turut diberikan kepada golongan rentan, khususnya warga emas dan golongan muda, selaras dengan cabaran Selangor yang bakal berdepan perubahan struktur demografi.
“Namun cabaran kita bagaimana sokongan yang diberikan itu mampu menyelesaikan isu-isu yang lebih kekal, dalam rangka melihat golongan rentan sebenarnya, kumpulan yang paling tua dan kumpulan yang muda wajar diberikan perhatian.
“Selangor merupakan negeri yang berdepan cabaran negeri menua menjelang tempoh terdekat dan kelahiran meningkat. Ini beri signal kepada kita, ini golongan kelompok yang perlu dijaga,”katanya pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 Negeri Selangor di Shah Alam.
Beliau berkata, peningkatan jumlah warga emas serta kelahiran yang semakin meningkat menjadi petunjuk penting untuk kerajaan negeri merangka bentuk sokongan yang lebih bersasar.