PNB perkasakan Agenda ESG menerusi Rangka Kerja Kemampanan 2026

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 25 September – Permodalan Nasional Berhad (PNB) melancarkan Rangka Kerja Kemampanan 2026 (SF 2026), pelan hala tuju yang diperkukuh dengan penerapan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi aktiviti pelaburan, operasi dan pengawasannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menyalurkan RM15 bilion kepada aset hijau dan peralihan serta RM500 juta untuk pelaburan impak sosial menjelang 2030.
  • Rangka Kerja mengandungi 16 sasaran boleh diukur berpaksikan tiga teras strategik.
  • Mengekalkan pelepasan sifar bersih Skop 1 dan Skop 2, mengurangkan pelepasan tidak langsung, sokong sasaran sifar bersih 2050.
  • Mengukuhkan tadbir urus, penyahkarbonan portfolio, pertimbangan biodiversiti, amalan pekerjaan adil, dan inisiatif inklusi sosial serta pembangunan bakat.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli berkata di bawah rangka kerja itu, pihaknya menyasarkan untuk menyalurkan RM15 bilion ke dalam pelaburan aset hijau dan peralihan.

“Sebanyak RM500 juta pula akan disalurkan ke dalam pelaburan impak sosial menjelang 2030 di bawah SF 2026 yang baharu diumumkan.

”Komitmen ini bukan sekadar menjana pulangan kewangan yang mampan, tetapi turut menyokong peralihan ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan, membuka lebih banyak peluang serta pelaburan semula dalam masyarakat,” jelas beliau.

Bertemakan “Melabur Secara Bertanggungjawab, Memperkasa Generasi”, rangka kerja itu mengandungi 16 sasaran yang boleh diukur dengan berpaksikan kepada tiga teras strategik.

Melalui teras Memacu Kemampanan Organisasi, PNB akan mengekalkan pelepasan sifar bersih Skop 1 dan Skop 2, mengurangkan pelepasan tidak langsung daripada perjalanan perniagaan selain mengukuhkan perolehan mampan, sambil menyokong aspirasi jangka panjangnya untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Teras Tadbir Urus Bertanggungjawab pula akan memanfaatkan kedudukannya untuk menggalakkan perniagaan yang lebih kukuh dan mampan.

Antaranya, menyasarkan penyahkarbonan portfolio, daya tahan terhadap perubahan iklim, pertimbangan berkaitan alam semula jadi dan biodiversiti, serta amalan pekerjaan yang adil dan saksama, termasuk prinsip hak buruh dan gaji kehidupan wajar.

Sementara itu, teras Memperkukuh Agenda Pembinaan Negara ia akan menumpukan kepada rangkuman sosial dan kewangan melalui inisiatif meliputi pembangunan bakat, biasiswa, pelaburan komuniti, celik kewangan, pemeliharaan warisan serta impak sosial yang lebih luas.

Mengulas lanjut, Datuk Rizal Rickman berkata, kemampanan sentiasa menjadi sebahagian daripada pendekatan PNB dalam melaksanakan mandatnya.

Melalui Rangka Kerja Kemampanan 2022, syarikat pengurusan dana itu melabur sebanyak RM8.1 bilion dalam aset hijau dan peralihan, di samping usaha memperkukuh amalan di tempat kerja dan pelaburan bertanggungjawab merentas portfolionya.

”Kami juga telah mencapai lapan daripada 10 sasaran yang ditetapkan secara progresif, di samping mencatat kemajuan yang bermakna dalam agenda kemampanan yang lebih menyeluruh.

”Ini termasuk mencapai sasaran Perusahaan Sifar Bersih 2025, di samping memastikan 100% penggunaan elektrik Perusahaan PNB disokong oleh sijil tenaga boleh baharu,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.