Isa Samad bedah mata di Hospital Serdang, SPRM tangguh ambil keterangan

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul (tengah), KSN Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman (kanan)/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 September – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangguhkan sementara pengambilan keterangan Datuk Seri Isa Samad susulan keadaan kesihatannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM menangguhkan pengambilan keterangan Datuk Seri Isa Samad kerana beliau menerima rawatan di Hospital Serdang selepas pembedahan mata.
  • Rakaman percakapan akan disambung selepas SPRM menerima pengesahan Jabatan Penjara bahawa keadaan beliau kembali pulih.
  • Keterangan Isa diperlukan untuk membantu siasatan berkaitan FELDA dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd.
  • Proses rakaman bermula 17 September di Penjara Sungai Buloh; masih beberapa perkara perlu dirakam bagi melengkapkan siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, bekas Pengerusi FELDA itu kini menerima rawatan di Hospital Serdang selepas menjalani pembedahan mata.

Menurut beliau, proses rakaman percakapan akan disambung semula selepas SPRM mendapat pengesahan daripada Jabatan Penjara bahawa keadaan Datuk Seri Isa kembali pulih.

“Berhubung keterangan Datuk Seri Isa, kita terpaksa tangguhkan dahulu kerana sepatutnya ia diambil semalam dan hari ini tetapi memandangkan beliau tidak sihat dan dihantar ke Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan mata, maka kita tangguhkan dahulu,” jelas beliau

Datuk Seri Abdul Halim berkata demikian pada sidang media Majlis Penutupan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di sini.

Tambah beliau, keterangan Datuk Seri Isa masih diperlukan bagi membantu siasatan berkaitan FELDA dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Proses rakaman keterangan bekas Pengerusi FELDA itu bermula pada 17 September lalu di Penjara Sungai Buloh.

Menurut Datuk Seri Abdul Halim, masih terdapat beberapa perkara yang perlu dirakamkan daripada Datuk Seri Isa bagi melengkapkan siasatan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.