MCMC bukan alat politik – Menteri Komunikasi

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 24 September – Kerajaan menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijadikan sebagai alat politik.

RINGKASAN BERITA AI
  • MCMC berfungsi sebagai saluran aduan rakyat untuk isu penyalahgunaan platform digital termasuk penipuan, penyalahgunaan data peribadi dan kandungan menyalahi undang-undang.
  • MCMC boleh merujuk aduan kepada platform, namun keputusan menurunkan kandungan ditentukan platform berdasarkan garis panduan komuniti masing-masing.
  • Penubuhan Majlis Media Malaysia menyediakan saluran bagi aduan laporan media dan menggalakkan kawal selia kendiri tanpa campur tangan kerajaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, MCMC berperanan sebagai saluran bagi rakyat membuat aduan berkaitan pelbagai isu penyalahgunaan platform digital.

“MCMC adalah alat untuk rakyat. Jadi sebaik mana rakyat mahukan perkhidmatan MCMC, maka berkhidmatlah MCMC,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab dakwaan tersebut menerusi sebuah program audio siar (podcast) baru-baru ini.

Beliau berkata, antara aduan yang diterima MCMC termasuk penipuan, penyalahgunaan data peribadi dan penyebaran kandungan menyalahi undang-undang.

Menurut Datuk Seri Fahmi, MCMC boleh menyemak dan merujuk aduan kepada platform media sosial, namun keputusan menurunkan sesuatu kandungan ditentukan platform berdasarkan garis panduan komuniti masing-masing.

“Kalau Facebook, TikTok setuju ia melanggar undang-undang, mereka akan turunkan. Kalau tidak, kandungan itu kekal,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi mengimbangi kebebasan bersuara dengan keperluan menangani penyalahgunaan platform digital.

Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) bertujuan menyediakan saluran khusus bagi menangani aduan berkaitan laporan media.

Katanya, mekanisme itu membolehkan pengamal media mengamalkan kawal selia kendiri tanpa campur tangan kerajaan dalam setiap isu.

“Biar antara rakan-rakan media berbincang, bincang sama-sama untuk buat kawalan kendiri. Untuk media, kita nampak Majlis Media itulah salurannya,” katanya.

Tambah beliau, kerjasama platform juga penting dalam menangani kandungan sensitif membabitkan agama, kaum dan institusi diraja kerana ia memerlukan pemahaman terhadap konteks tempatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.