Piala ASEAN: Harimau Malaya perlu agresif, disiplin hadapi Bangladesh

Ahmad Muzakkir Hamid/ RTM

KUALA LUMPUR, 24 September-Harimau Malaya perlu menggabungkan pendekatan agresif dengan disiplin pertahanan bagi mengekang Bangladesh daripada mengeksploitasi sebarang kesilapan pada aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026 di Gelora Bung Karno, Indonesia, esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kekal disiplin dan elakkan kesilapan kerana apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit.
  • Gunakan perlawanan untuk kenal pasti kombinasi pemain dan pendekatan taktikal terbaik.
  • Jangan eksperimen; pastikan taktik tidak mudah dibaca lawan terutamanya menghadapi Indonesia.

Pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid berkata pendekatan itu penting bagi memastikan skuad kebangsaan mampu menguasai permainan selain kekal tersusun ketika berdepan tekanan lawan.

“Kita mengharapkan corak permainan kali ini lebih agresif, penguasaan padang yang mantap selain kekuatan kubu pertahanan.

“Kita juga perlu mengelakkan sebarang kesilapan dan jangan sesekali memandang rendah pasukan lawan walaupun mereka berada pada ranking lebih rendah kerana dalam bola sepak, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 90 minit,” katanya kepada RTM, hari ini.

Beliau berkata pertemuan dengan Bangladesh juga penting untuk mengenal pasti kombinasi terbaik pemain dan pendekatan taktikal yang sesuai, namun setiap percaturan perlu mengambil kira kepentingan keputusan perlawanan.

Muzakkir menegaskan aksi itu bukan medan eksperimen kerana Malaysia perlu memastikan setiap keputusan taktikal memberi manfaat kepada pasukan, terutama menjelang pertemuan dengan Indonesia pada Isnin.

Malaysia, yang kini menduduki ranking ke-136 dunia, akan menentang Indonesia sebelum melengkapkan aksi Kumpulan A menentang Singapura di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober.

Juara Kumpulan A dan B akan berentap pada final di Gelora Bung Karno pada 5 Oktober, manakala naib juara setiap kumpulan akan bertemu bagi penentuan tempat ketiga pada hari dan venue sama.

Mengulas pertemuan dengan Indonesia, Muzakkir berkata Malaysia perlu lebih berhati-hati selain memastikan corak taktikal pasukan tidak mudah dibaca lawan.

“Mesti berhati-hati dengan pasukan lawan. Jangan sampai mereka boleh menghidu taktikal kita. Ketua jurulatih pasti mempunyai formula terbaik untuk capai kemenangan di tempat lawan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.