
NEW YORK, 24 September – Lembaga Keamanan yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu membentangkan pelan pemulihan Gaza bernilai AS$2.45 bilion, yang dicadang dilaksanakan dalam tempoh enam bulan.
- Pemimpin dunia, termasuk Perancis dan Turkiye, menyuarakan kebimbangan kemanusiaan Gaza dan menggesa tindakan untuk menamatkan konflik.
- Pelan merangkumi 66 projek: penempatan sementara, pembersihan runtuhan, pembinaan semula infrastruktur, pengangkutan awam dan pemulihan ekonomi.
- Termasuk cadangan demilitarisasi Gaza, tuntutan Hamas menyerahkan senjata serta pengunduran tentera Israel dari kawasan berkenaan.
- PBB anggar 84 peratus struktur Gaza rosak atau musnah; kerosakan AS$35.2 bilion, keperluan pemulihan sekitar AS$71.4 bilion.
Pembentangan itu berlangsung ketika beberapa pemimpin dunia, termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, minggu ini menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kemanusiaan di Gaza serta menggesa tindakan diambil bagi menamatkan konflik dengan Israel.
Pegawai kanan dari pelbagai negara kini berada di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) ke-81.
Serangan maut ke atas Palestin pada 7 Oktober 2023 mencetuskan kemusnahan dan meragut nyawa di wilayah itu akibat serangan udara Israel.
Wakil Tinggi Lembaga Keamanan bagi Gaza, Nickolay Mladenov, menggesa sokongan diberikan terhadap pelan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui rundingan dengan rejim Zionis bukan mudah, khususnya menjelang pilihan raya di negara itu, dengan menyifatkan keadaan ketika ini lebih sensitif dari segi politik.
“Berikutan kerumitan perkara yang kita hadapi, saya fikir kita sedang mencapai kemajuan, secara perlahan dan berterusan,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Utusan Khas AS, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner.
Pelan berkenaan merangkumi 66 projek, termasuk penyediaan penempatan sementara, pembersihan runtuhan serta pembangunan infrastruktur seperti pengangkutan awam, selain usaha pemulihan ekonomi.
Ia turut merangkumi cadangan demilitarisasi Gaza, termasuk Hamas menyerahkan senjatanya, selain pengunduran tentera Israel dari kawasan berkenaan.
Walaupun gencatan senjata yang ditaja AS dicapai pada Oktober 2025, Israel masih meneruskan serangan udara serta mengehadkan kemasukan peralatan yang menurut kumpulan antarabangsa diperlukan bagi memulakan usaha pembinaan semula wilayah itu.
Trump merupakan Pengerusi Lembaga Keamanan yang pada awalnya ditubuhkan untuk mengawasi gencatan senjata di Gaza serta usaha pembinaan semula wilayah itu selepas perang antara Palestin dan Israel.
Menurut angka Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), sehingga Oktober 2025, serangan Israel menyebabkan 84 peratus daripada keseluruhan struktur di Gaza rosak atau musnah.
Lembaga berkenaan pada Rabu memaklumkan jumlah kerosakan di seluruh Gaza dianggarkan mencecah AS$35.2 bilion, manakala usaha pemulihan memerlukan kira-kira AS$71.4 bilion.- AFP