
UNITED NATIONS, 23 September – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak dengan tegas gesaan supaya kecerdasan buatan (AI) diletakkan bawah pengawasan antarabangsa.
- Trump cadang guna istilah 'super intelligence' menggantikan AI, dan meremehkan kebimbangan keselamatan, membandingkan dengan amaran perubahan iklim.
- Lebih 20 negara gesa langkah keselamatan mengikat kerana kemajuan AI mungkin melebihi keupayaan kawalan.
- Setiausaha Agung PBB gesa AS dan China mulakan dialog, bina kepercayaan dan saluran komunikasi untuk urus risiko AI.
Beliau menyifatkan cadangan itu sebagai ‘skim globalisme’ untuk mengawal teknologi berkenaan.
Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Trump turut mengumumkan AS akan menggunakan istilah kecerdasan super atau ‘super intelligence‘ bagi menggantikan kecerdasan buatan atau ‘artificial intelligence‘ (AI).
“Istilah itu kedengaran lebih baik dan lebih tepat,” katanya sambil selain berharap negara lain turut menggunakannya.
Trump turut menolak kebimbangan yang disuarakan golongan yang memperjuangkan keselamatan AI, dengan membandingkannya dengan amaran mengenai perubahan iklim.
“Setiap teknologi baharu yang diperkenalkan membawa cabaran tersendiri, dan teknologi ‘super intelligence‘ juga tidak terkecuali.
“Pihak yang sebelum ini memberi amaran dunia akan berdepan kemusnahan akibat pemanasan global…kini mendakwa AI boleh membawa ancaman sama, termasuk serangan robot dan bencana besar,” tambahnya lagi.
Menjelang persidangan dan ucapan pemimpin dunia di New York, lebih 20 negara menggesa langkah keselamatan mengikat bagi AI canggih.
Mereka memberi amaran perkembangan teknologi itu mungkin bergerak lebih pantas daripada keupayaan untuk mengawalnya.
Bagaimanapun, dua kuasa besar AI, iaitu China dan AS tidak beranggapan sedemikian.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa AS dan China memulakan dialog mengenai masa depan teknologi berkenaan, seperti mana hubungan Washington-Moscow ketika kemuncak Perang Dingin.
“Kerajaan yang memiliki keupayaan AI tercanggih memikul tanggungjawab paling besar kepada manusia untuk mewujudkan saluran dialog, ketelusan, kepercayaan dan kerjasama.
“Persaingan strategik ketika Perang Dingin akhirnya mendorong kedua-dua pihak mengiktiraf keperluan mengurus risiko bersama yang boleh mengancam kewujudan manusia,” menurut Guterres.
Dalam pada itu, China dan AS kini membincangkan usaha mewujudkan saluran komunikasi berkaitan kebimbangan terhadap AI, menjelang pertemuan Trump dengan Presiden China, Xi Jinping di Washington pada Khamis.
Kedua-dua kuasa besar itu berdepan kebimbangan yang semakin meningkat bahawa sistem AI berkeupayaan tinggi berpotensi terlepas daripada kawalan manusia, ketika masing-masing berlumba mendapatkan keunggulan teknologi. – AFP