Keberkesanan Dasar Gaji Progresif, dinilai akhir 2026

Kajian antara lain bakal meneliti kaedah pemberian insentif kerajaan serta penglibatan secara sukarela majikan dalam meningkatkan gaji pekerja

PUTRAJAYA, 22 September – Kajian komprehensif akan dijalankan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan bagi menilai keberkesanan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP) dalam meningkatkan pendapatan pekerja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilaian komprehensif DGP diminta bagi menilai keberkesanan dasar sebelum tamat pelaksanaan.
  • Insentif DGP mesti disertai peningkatan produktiviti melalui latihan dan pendedahan bagi meningkatkan pendapatan pekerja.
  • Pendekatan gaji perlu menyeluruh: gaji minimum, kenaikan tangga kerjaya dan gaji premium untuk pekerja berkemahiran tinggi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir memberitahu, kajian berkenaan antara lain bakal meneliti kaedah pemberian insentif kerajaan serta penglibatan secara sukarela majikan dalam meningkatkan gaji pekerja.

“Dari segi Dasar Gaji Progresif memang dalam pelaksanaan ketika ini, yang mana dari segi tempoh yang ada, Dasar Gaji Progresif ini akan berakhir pada penghujung tahun 2027.

“Penilaian keberkesanannya memang diminta agar ada satu kajian yang komprehensif,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi.

Beliau turut menyatakan pemberian insentif di bawah DGP perlu disertai peningkatan produktiviti termasuk menerusi latihan dan pendedahan kepada pekerja.

“Berdasarkan Laporan Survei Gaji dan Upah Malaysia 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam, gaji benar meningkat 3.3 peratus kepada RM2,104.

“Perkembangan gaji berkenaan akan menjadi garis dasar bagi kerajaan memberi tumpuan kepada peningkatan tangga gaji pekerja menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),”jelasnya.

Katanya lagi, isu gaji perlu dilihat secara menyeluruh, merangkumi perlindungan menerusi gaji minimum, peningkatan tangga gaji serta gaji premium bagi pekerja berkemahiran tinggi.

Dalam pada itu, beliau menyatakan peningkatan gaji perlu dinilai bersama kos sara hidup yang berbeza mengikut lokaliti dan keperluan isi rumah, termasuk sewa, makanan, pengangkutan serta pendidikan.

“Jurang gaji antara pekerja tidak berkemahiran dengan pekerja separa mahir semakin mengecil daripada RM550 pada 2016 kepada RM396 pada 2024, menunjukkan gaji bagi kumpulan separa mahir tidak bergerak pada kadar yang sewajarnya.

“Sehubungan dengan itu, usaha meningkatkan gaji perlu melangkaui soal lantai gaji minimum dengan memberi tumpuan kepada perkembangan kerjaya dan peningkatan pendapatan pekerja di peringkat seterusnya,”jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.