Sistem eKYC disesuaikan dengan MyKad generasi baharu

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 21 September – Sistem pengesahan identiti secara elektronik atau eKYC sedang disesuaikan oleh penyedia perkhidmatan berkaitan bagi membolehkan penggunaan MyKad Generasi Baharu dalam proses verifikasi identiti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyedia perkhidmatan eKYC sedang mengemas kini sistem supaya reka bentuk dan ciri MyKad Generasi Baharu dapat dikenal pasti semasa verifikasi.
  • JPN menyediakan maklumat, memantau pelaksanaan dan bekerjasama dengan agensi serta penyedia untuk mempercepatkan penyesuaian sistem eKYC.
  • Pengguna yang mengalami kesukaran digalakkan merujuk institusi atau penyedia perkhidmatan bagi kaedah pengesahan alternatif sementara kemas kini berjalan.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu diambil susulan kesukaran yang dihadapi sebahagian pemilik MyKad Generasi Baharu ketika melaksanakan pengesahan identiti menerusi sistem eKYC.

“Beberapa siri sesi libat urus bersama agensi berkaitan dan penyedia perkhidmatan eKYC telah diadakan bagi menangani isu berkenaan serta memastikan urusan pengesahan identiti orang ramai berjalan lancar.

“Pada masa ini, penyedia perkhidmatan eKYC sedang mengemas kini sistem masing-masing supaya reka bentuk dan ciri MyKad Generasi Baharu dapat dikenal pasti dalam proses verifikasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPN turut menyediakan maklumat yang diperlukan dan memantau pelaksanaan kemas kini berkenaan bagi mempercepatkan proses penyesuaian sistem.

“Bagi pengguna yang menghadapi kesukaran menggunakan MyKad Generasi Baharu untuk pengesahan eKYC, mereka disaran merujuk institusi atau penyedia perkhidmatan terbabit bagi mendapatkan kaedah pengesahan alternatif yang tersedia sementara proses kemas kini diselesaikan.

“MyKad Generasi Baharu mula dikeluarkan secara rasmi pada 17 September lalu, dengan penambahbaikan dari aspek struktur, reka bentuk, teknologi dan ciri keselamatan bagi meningkatkan perlindungan identiti rakyat,” katanya.

JPN memaklumkan penyesuaian sistem eKYC merupakan sebahagian daripada proses peralihan bagi menyokong penggunaan kad baharu berkenaan.

JPN akan terus memantau proses kemas kini serta bekerjasama dengan agensi dan penyedia perkhidmatan berkaitan sehingga penyesuaian sistem selesai, bagi memastikan peralihan kepada MyKad Generasi Baharu tidak menjejaskan kemudahan orang ramai mendapatkan perkhidmatan yang memerlukan pengesahan identiti.

Agensi dan penyedia perkhidmatan eKYC yang memerlukan maklumat lanjut mengenai ciri MyKad Generasi Baharu boleh menghubungi JPN menerusi e-mel commandset@jpn.gov.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.