Pelajar IPT disaran manfaat peluang pengajian seluruh negara

Foto FB Zambry Abd. Kadir

KOTA KINABALU, 21 September – Pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) disaran tidak mengehadkan pilihan pengajian berdasarkan negeri, sebaliknya memanfaatkan peluang mengikuti kursus yang ditawarkan di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mobiliti pendidikan antara negeri penting untuk pendedahan lebih luas, memperkaya pengalaman serta meningkatkan kemahiran pelajar.
  • Pelajar digalakkan melihat pengajian di negeri lain sebagai pengalaman baharu dan memilih program sesuai bidang dan minat masing-masing.
  • Kerajaan sentiasa membuka ruang untuk pelajar mengikuti program di pelbagai institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.
  • Kepelbagaian IPT perlu dimanfaatkan tanpa mengira negeri asal, termasuk peluang menuntut di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, mobiliti pendidikan antara negeri penting bagi memberi pendedahan lebih luas kepada pelajar, selain memperkaya pengalaman dan kemahiran menerusi pengembaraan ilmu.

Menurut beliau, pelajar perlu melihat peluang melanjutkan pengajian di negeri lain sebagai pengalaman baharu, selain memilih program yang bersesuaian dengan bidang dan minat masing-masing.

“Untuk mengejar ilmu itu adalah membuatkan satu perjalanan, satu pengembaraan ilmu yang sebenarnya akan menambahkan lagi pengalaman kita, kemahiran kita.

“Kita ini satu negara. Jadi sewajarnya kita mengambil kesempatan itu,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Sabah 2026 di Politeknik Kampus Kota Kinabalu.

Tambahnya, kerajaan sentiasa membuka ruang kepada pelajar untuk mengikuti program pengajian yang ditawarkan di pelbagai institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.

Katanya, kepelbagaian institusi pendidikan tinggi di Malaysia perlu dimanfaatkan sebaiknya tanpa mengira negeri asal, termasuk memberi peluang kepada pelajar Sabah dan Sarawak melanjutkan pengajian di Semenanjung, dan begitu juga sebaliknya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.