
KUALA LUMPUR, 21 Sept – Lebih 500 peserta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan berhimpun di Persidangan Pegawai Psikologi Awam (PSYCON) 2026 bagi memperkukuh keupayaan profesion psikologi.
- PSYCON 2026 menjadi platform perbincangan isu kesejahteraan jiwa dan memperkukuh keupayaan profesion psikologi.
- Majikan dan ketua jabatan mesti sediakan landskap pentadbiran moden serta sistem sokongan untuk mengurus tekanan kerja berkesan.
- Data MyPsyD dan WHO menekankan kesan besar masalah mental terhadap keselamatan nyawa, produktiviti dan ekonomi; perlukan tindakan dasar segera.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail menyatakan, persidangan itu bertujuan menjadi platform dalam membincangkan isu kesejahteraan jiwa manusia.
“Dalam mengukur kemajuan negara dan kemakmuran ekonomi, kita sering tertumpu kepada angka pertumbuhan, pelaburan, dan produktiviti.
“Namun, kita harus mengakui bahawa kemajuan sebenar sesebuah bangsa tidak hanya terletak pada kekuatan ekonominya, tetapi juga pada kesejahteraan jiwa rakyatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian PSYCON 2026 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Utama Bukit Kiara di ibu negara.
Dengan tema ‘Psikologi Memperkasa Insan, Mencorak Masa Hadapan’, PSYCON 2026 menjadi wadah penting untuk menghimpunkan pegawai serta penolong pegawai psikologi dari pelbagai sektor bagi sesi perbincangan isu yang semakin mendesak iaitu tekanan jiwa masyarakat.
Datuk Dr Mohd Bakhari menegaskan majikan harus menyediakan landskap pentadbiran moden yang dinamik bagi berkeupayaan mengurus tekanan kerja dengan berkesan.
Seterusnya, peranan ketua jabatan sangat penting dalam memastikan sistem sokongan yang wajar disediakan bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan pekerja kerana mereka merupakan aset terpenting negara.
Tambahan itu, sokongan psikososial berserta bantuan dari sudut kewangan dan juga latihan pengukuhan tahap daya tahan pekerja turut memberi kesan yang besar dalam membantu mereka yang memerlukan.
Datuk Dr Mohd Bakhari turut memaklumkan pada tahun 2025, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kira-kira 12 bilion hari bekerjahilang setiap tahun akibat masalah kemurungan dan keresahan. Keadaan ini secara langsung mengakibatkan kerugian produktiviti terhadap ekonomi global yang dianggarkan mencecah 1 trilion dolar Amerika Syarikat (AS) setahun.
Sementara itu, sekiranya melihat sektor perkhidmatan awam, dapatan pelaksanaan Sistem Profil Digital Kesihatan Psikologi Penjawat Awam (MyPsyD), menunjukkan seramai 55,169 penjawat awam telah dikategorikan sebagai pegawai berisiko tinggi yang mempunyai kecenderungan membunuh diri.
“Saya berharap perbincangan yang berlangsung sepanjang persidangan dua hari ini dapat menghasilkan analisis, cadangan serta kerjasama strategik yang mampu menyumbang kepada pembangunan dasar dan amalan yang lebih berkesan pada masa hadapan,” ujar Datuk Dr Mohd Bakhari.