
PUTRAJAYA, 21 September – Pesuruhjaya Bangunan (COB) telah mengeluarkan surat amaran kepada pemaju berkaitan susulan isu pekerja warga asing yang didakwa ditempatkan di bilik utiliti kediaman berkenaan.
- Pemaju diarahkan tidak menempatkan pekerja dalam bilik atau kawasan yang ditetapkan untuk kegunaan lain.
- Kediaman masih di bawah pengurusan pemaju kerana Perbadanan Pengurusan belum dibentuk walaupun hak milik strata dikeluarkan.
- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan terus memantau situasi melalui pemantauan COB.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, pemaju telah diarahkan supaya tidak menempatkan pekerja di ruang yang ditetapkan untuk kegunaan lain.
“COB mengeluarkan surat amaran kepada pihak pemaju supaya tidak lagi meletakkan pekerja-pekerja di dalam kawasan-kawasan, dalam bilik-bilik yang telah ditetapkan untuk kegunaan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh mengadakan sidang media Bazar Deepavali di sini hari ini.
Menurut Datuk Seri Fadlun, kediaman berkenaan masih berada di bawah pengurusan pemaju kerana Perbadanan Pengurusan (MC) masih belum dibentuk.
Hak milik strata telah dikeluarkan, namun pemilikan yang telah melalui proses pindah milik masih belum mencapai tahap diperlukan bagi pembentukan MC.
Sehubungan itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi COB akan terus memantau perkara berkenaan.