Nigeria tubuhkan panel siasat kematian 37 pelombong dalam tahanan

Foto Reuters

LAGOS, 20 September – Kerajaan Nigeria menubuhkan panel bebas 10 anggota bagi menyiasat kematian 37 lelaki yang ditemukan dalam sebuah sel tahanan pasukan keselamatan awam di Minna, Niger.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mangsa ditemukan meninggal setelah ditempatkan dalam sel sesak dengan pengudaraan lemah.
  • Mangsa yang terselamat mendakwa didedah kepada bahan perengsa dan panggilan minta bantuan diabaikan.
  • Presiden arah siasatan segera, panel diberi dua minggu untuk kenal pasti pihak bertanggungjawab, 20 pegawai NSCDC digantung tugas.

Mangsa, yang dipercayai pelombong emas, ditahan atas dakwaan menjalankan perlombongan emas secara haram oleh Nigeria Security and Civil Defence Corps (NSCDC).

Mangsa ditemukan meninggal dunia pada Khamis selepas ditempatkan dalam sel yang sesak dan mempunyai pengudaraan yang lemah.

Beberapa mangsa yang terselamat mendakwa mereka turut terdedah kepada bahan yang menyebabkan pedih pada hidung dan tekak sebelum pintu sel ditutup, selain dakwaan panggilan meminta bantuan tidak diendahkan.

Kejadian itu mencetuskan bantahan ganas di Minna sehingga polis melepaskan tembakan untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Seorang lelaki berusia 24 tahun, Allamin Adamu, mendakwa dirinya ditembak ketika dalam perjalanan pulang daripada menghadiri pengebumian salah seorang pelombong.

Presiden Bola Tinubu pada Jumaat mengarahkan siasatan segera dan telus, selain menegaskan kematian akibat kecuaian, penyalahgunaan kuasa atau kegagalan menjalankan tugas tidak akan ditoleransi.

Panel berkenaan diberi tempoh dua minggu untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab serta meneliti unsur kecuaian dan salah laku.

Menteri Dalam Negeri, Olubunmi Tunji-Ojo berkata, 20 pegawai dan pengawal NSCDC yang terbabit dalam penahanan pelombong itu telah digantung tugas, manakala ketua pasukan berkenaan turut digantung sehari sebelumnya.

Niger merupakan antara negeri kaya mineral di Nigeria dan menjadi tumpuan ribuan pelombong kecil-kecilan yang berharap menemui emas.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.