Aramco dijangka hentikan penghantaran minyak mentah di Eropah, bulan depan

Keputusan itu melibatkan semua pelanggan Aramco di Eropah/Foto REUTERS

RIYADH, 19 September – Saudi Aramco dijangka menghentikan penghantaran minyak mentah yang dipersetujui kepada pelanggan di Eropah pada Oktober, selepas operasi saluran paip utama ke Laut Merah, terhenti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aramco dilaporkan memaklumkan sekurang-kurangnya dua penapisan Eropah tidak akan menerima minyak mentah yang dijadualkan.
  • Keputusan dilaporkan melibatkan semua pelanggan Aramco di Eropah dan syarikat itu belum mengeluarkan kenyataan.
  • Saluran paip East-West diserang dan masih belum kembali operasi biasa, menyulitkan penghantaran serta menambah kos bekalan alternatif.

Laporam Bloomberg News memetik sumber yang mengetahui perkara berkenaan berkata, syarikat minyak milik kerajaan Arab Saudi itu telah memaklumkan sekurang-kurangnya dua syarikat penapisan Eropah tidak akan menerima minyak mentah yang dijadualkan pada Oktober.

Keputusan itu dilaporkan melibatkan semua pelanggan Aramco di Eropah dan setakat ini Aramco tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung keputusan berkenaan.

Gangguan penghantaran itu dijangka menyebabkan syarikat penapisan beralih untuk mendapatkan bekalan alternatif, yang berkemungkinan melibatkan kos lebih tinggi.

Kementerian Tenaga Arab Saudi pada 11 September lepas memaklumkan saluran paip East-West telah diserang menyebabkan operasi dihentikan sebagai langkah berjaga-jaga.

Saluran paip berkenaan juga masih belum kembali beroperasi seperti biasa.

Saluran paip sepanjang lebih 1,200 kilometer itu membawa minyak mentah dari kawasan pengeluaran minyak di timur Arab Saudi ke pelabuhan Yanbu di Laut Merah.

Laluan berkenaan membolehkan eksport minyak dilaksana tanpa melalui Selat Hormuz dengan mempunyai kapasiti maksimum sehingga tujuh juta tong minyak sehari, termasuk sehingga lima juta tong sehari bagi tujuan eksport.-REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.