
KUALA LUMPUR, 18 September – Keputusan kerajaan memperluas perlindungan bil elektrik kepada isi rumah daripada had penggunaan 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan dilihat memberi kelegaan kepada pengguna.
- Mengurangkan beban perbelanjaan bulanan, terutamanya ketika cuaca panas dan penggunaan elektrik meningkat.
- Penjimatan boleh digunakan untuk keperluan harian seperti membeli barang dapur.
- Peniaga menyifatkan subsidi ini membantu meringankan kos perniagaan.
- Penambahbaikan subsidi bermula September hingga 31 Disember 2026; pengguna layak dikecualikan AFA, caj peruncitan dan SST.
Rata-rata berpandangan langkah itu dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan bulanan, khususnya ketika peningkatan penggunaan elektrik akibat cuaca panas.
Bagi Ahmad Nizam, peluasan perlindungan pada kadar itu merupakan langkah yang baik mengambill kira keluhan pengguna.
“Bil rumah saya pun melebihi 600 watt. Jadi kalau dapat subsidi, memang baguslah sebab perbelanjaan bulanan kita pun makin meningkat. Bila dapat kurangkan untuk bil elektrik, kita boleh gunakan lebihan itu untuk keperluan lain seperti barang-barang dapur”, katanya kepada pemberita RTM di sini.
Bagi Firdaus Zubir, penjimatan itu boleh dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan lain.
“Baguslah, maknanya boleh membantu pengguna-pengguna yang lain. Saya memang banyak guna elektrik di rumah, lebih-lebih lagi dengan keadaan jerebu. Jadi baguslah apabila penggunaan sehingga 800 kWj turut mendapat subsidi ” kata Firdaus Zubir.
Pandangan sama turut disuarakan Muhammad Faizal Bahrin.
“Bila keadaan cuaca panas macam ini, bil elektrik saya pun melambung sebab saya bekerja dari rumah, isteri pun bekerja dari rumah. Jadi penggunaan penghawa dingin lebih kuat. Bila kerajaan beri perlindungan ini, ia memberi faedah yang lebih banyak kepada pengguna.”
“Kalau sekarang kena bayar RM200 hingga RM300, mungkin ia boleh kurangkan beban. Kalau dapat kurangkan dalam RM50, boleh beli lebih banyak barang dapur”, katanya.
Sementara itu, bagi peniaga Zanaruby pula, langkah berkenaan dilihat sedikit sebanyak membantu mengurangkan kos perbelanjaan perniagaan.
“Sebagai peniaga, ia membantu meringankan beban kami. Jadi bila kerajaan beri subsidi, Alhamdulillah”, katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penambahbaikan subsidi itu akan berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.
Pengguna domestik yang layak akan dikecualikan daripada Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA), caj peruncitan serta Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).